‘The Speedy Jantan’ bagaima­napun perlu menjalani rawatan kecederaan otot paha kanannya selama sebulan sebelum dibenarkan meneruskan latihan di Institut Sukan Negara (ISN) di Kuala Lumpur.

Jurulatihnya Mohd. Poad Md. Kassim berkata, kecederaan dialami anak buahnya itu kini semakin pulih namun memerlukan rehat selama sebulan agar proses pemulihan kecederaan tidak terganggu atas nasihat doktor.

Menurutnya, ketika ini Khairul Hafiz berehat selama seminggu di kampungnya sebelum pulang se­mula ke ISN untuk menjalani ra­watan susulan kecederaan tersebut.

“Namun selepas pulih nanti, kami akan meneruskan latihan bagi memberi tumpuan kepada Sukan Komanwel dan Sukan Asia di Jakarta yang kedua-duanya diadakan tahun depan,” katanya kepada pemberita ketika majlis menyambut kepulangan Khai­rul Hafiz di Kampung Berangan Enam, di sini hari ini.

Kepulangan Khairul Hafiz bersama seorang lagi pelari pecut negara yang juga rakannya, Badrul Hisyam Abdul Manap disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Atan dan Penghulu Serkam, Nor Azmi Mahmood.

Dalam Sukan SEA Ke-29, Khai­rul Hafiz meraih pingat emas acara 100m lelaki dengan mengalahkan juara bertahan Eric Cray dari Fi­lipina dengan catatan masa 10.38 saat sekali gus menamatkan pe­nantian 14 tahun Malaysia untuk menjuarai acara tersebut selepas kali terakhir dimenangi Nazmizan Muhammad di Vietnam.

Khairul Hafiz mendapat tempat keempat dalam acara 200 meter dengan catatan masa 21.28 saat ekoran kecederaan kaki kanannya dan tidak dapat beraksi dalam acara 4x100 meter.