Khairul Hafiz yang memulakan sesi latihan hari ini dilihat amat bersemangat dan tidak gementar walaupun dikelilingi jaguh-jaguh pecut Asia yang turut berusaha menyesuaikan diri masing-masing dengan suasana stadium.

Khairul Hafiz memberitahu, dia kini berada di tahap terbaik dan mahu memanfaatkan peluang menyertai temasya ini dengan sebaiknya.

“Ketika ini badan saya tengah berada dalam keadaan sedap dan ringan untuk memulakan perlumbaan esok.

“Saya akan cuba buat yang terbaik untuk negara tetapi misi utama saya di sini adalah untuk memperbaiki rekod kebangsaan 100m (10.18s) milik saya.

“Semangat saya juga semakin membara terutama selepas berada dalam stadium ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas tamat sesi latihan di Stadium Utama Bung Karno hari ini.

Jaguh pecut dari Melaka itu akan menyertai acara tumpuan 100m lelaki dan 4x100m. Dia adalah antara atlet olahraga negara yang menyertai Sukan Asia di bawah Kategori B kerana tidak melepasi had kelayakan bagi kedua-dua acara berkenaan.

Sekiranya berjaya memperbaiki catatan 10.18s yang dilakukannya dalam Sukan Malaysia pada 2016 di Sarawak maka itu sudah dianggap membanggakan kerana dalam Sukan Asia kali ini jaguh pecut dari China dan Jepun masing-masing mempunyai catatan bawah 10s.

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga negara Zainal Abas berkata, kebanyakan atlet amat teruja dapat menyertai Sukan Asia 2018 dan mereka telah berjanji kepadanya untuk sekurang-kurangnya memperbaiki catatan peribadi terbaik.

“Ini adalah peluang buat kebanyakan atlet olahraga negara untuk beraksi bersama jaguh-jaguh Asia dan peluang sebegini sukar diperoleh.

“Kita harap semua dapat memberikan persembahan terbaik apabila acara olahraga bermula esok,” katanya. – UTUSAN