Bintang pecut Me­laka itu mengejutkan peminat sukan tanah air apabila melepasi garisan penamat dengan catatan yang amat pantas, 10.18 saat, 0.12s lebih pantas daripada rekod berusia 18 tahun milik Watson Nyambek iaitu 10.30s yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 13 Julai, 1998.

Apa yang menarik, rekod tersebut sama usianya Khairul Hafiz, yang genap 18 tahun pada 22 Julai lalu.

“Badrul seperti abang saya, sebab dialah saya begitu bersemangat macam ini. Dia sentiasa berada di belakang saya,” kata Khairul Hafiz ketika ditanya siapa individu yang menjadi pendorongnya selama ini.

Badrul, 19, yang sebelum ini diuar-uarkan mampu memecah rekod milik Watson sekadar berpuas hati meraih pingat gangsa selepas berkongsi catatan masa 10.36s dengan atlet Sarawak, Jonathan Nyepa, 20, yang dihadiahkan perak menerusi ‘photo-finish’.

Khairul Hafiz, yang masih segar dengan kejayaan muncul atlet Malaysia pertama merangkul kejuaraan remaja Asia di Vietnam bulan lalu, selain melangkah ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia di Poland, minggu lalu turut mendedahkan, taat kepada perintah agama, selain hormat orang tua adalah kunci utama kejayaannya.

“Solat jangan tinggal, dengar cakap jurulatih yang banyak memberikan semangat. Hormat pada ibu bapa, (dan) orang tua,” ujarnya lagi, yang turut mengakui dia tidak tertekan sebelum perlumbaan.

Ketika ditanya apa yang diperkatakan oleh Badrul ketika rakan sepasukannya itu memeluknya sejurus tamat perlumbaan, Khairul Hafiz memberitahu, hanya kata-kata semangat yang dihamburkan teman baiknya itu, selain ucapan tahniah.

Kemenangan bersejarah ini meningkatkan lagi keyakinan Khairul Hafiz untuk memburu kejayaan lebih besar dengan pingat emas Sukan SEA 2017 yang akan diadakan di Kuala Lumpur kini menjadi sasaran terbaharunya.

Sementara itu, atlet Perlis, Noor Eewan Syafiqah Mohd. Sabri dinobat sebagai Ratu Pecut Sukma 2016 selepas memenangi perlumbaan sengit 100m wanita biarpun diberi tentangan hebat oleh pencabar dari Terengganu, Azreen Nabila Alias.

Noor Eewan, 19, yang terjatuh selepas tamat perlumbaan melepasi garisan penamat dengan masa 12.01s, meninggalkan Azreen meraih perak (12.04s). Pingat gangsa milik Kang Woan Yi dari Perak menerusi catatan 12.13s.