Khairul Hafiz melangkah ke separuh akhir selepas mencatat 10.47 saat untuk menduduki tempat ketiga dalam peringkat saringannya di Stadium Utama Bung Karno malam ini.

Ditemui selepas perlumbaan, atlet dari Melaka itu berkata untuk perlumbaan esok dia akan berusaha memecut lebih laju untuk cuba menempatkan diri dalam perlumbaan akhir.

“Hari ini saya berlari tanpa tekanan dan hanya memikirkan untuk layak ke separuh akhir.

“Dalam separuh akhir nanti saya akan cuba mencatat masa yang lebih pantas lagi agar berjaya ke final,” katanya.

Langkah Khairul Hafiz diringi dua lagi jaguh pecut negara iaitu Jonathan Nyepa yang mencatat 10.43s dan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli dengan catatan 11.59s ketika aksi kelayakan.

Catatan 11.59s dilakukan Zaidatul Husniah itu juga adalah catatan terbaik peribadinya musim ini.

Saingan separuh akhir dan akhir 100m lelaki serta wanita akan berlangsung esok.

Sementara itu, jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei menempuh detik mendebarkan sebelum layak ke persaingan akhir acaranya yang dijadual berlangsung Isnin depan.

Dalam saingan kelayakan pada hari ini, Hup Wei terpaksa melakukan dua percubaan bagi melepasi ketinggian 2.15 m.

Hup Wei dan rakan senegara Nauraj Singh Randhawa adalah antara 13 peserta acara lompat tinggi yang berjaya menempah slot ke pertandingan akhir selepas melepasi ketinggian 2.15m.

“Fokus saya dalam saingan akhir nanti adalah untuk memperbaharui catatan peribadi terbaik saya ketika ini iaitu 2.28m dan sekiranya berjaya meraih pingat, itu adalah bonus,” katanya. – UTUSAN