Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola KL2017 (Masoc), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, pencapaian cemerlang oleh atlet kelahiran Melaka itu yang turut memecah rekod kebangsaan di dalam acara pecut 100m pada Sukan Malaysia di Kuching, Sarawak, tahun lalu telah menjadikan sukan olahraga kini kembali popular.

“Selepas kali terakhir Nazmizan Muhammad memenangi pingat emas berganda dalam acara 100m dan 200m pada Sukan SEA 2003 di Vietnam, ini kali pertama kita berpeluang mengulangi pencapaian itu menerusi Khairul Hafiz.

“Saya percaya semangat beliau tinggi selepas memecahkan rekod kebangsaan 200m, baru-baru ini. Dia mampu menjadi tarikan untuk sukan olahraga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Lembaga Persekutuan Sukan Para ASEAN di sini, hari ini.

Khairul Hafiz mencatat masa 20.90 saat dalam perlumbaan akhir Kejohanan Olahraga Pra Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini yang sekali gus memadam rekod lama 20.92s milik Jegathesan yang dilakukan pada 1968.

Atlet berusia 19 tahun itu turut melebur rekod 100m kebangsaan berusia 18 tahun milik Watson Nyambek setelah dia mencatat kepantasan 10.18s ketika memenangi pingat emas pada Sukma.

Selain acara blue ribbon, 100m dan 200m, menurut Zolkples, acara lari berganti-ganti 4x100m dalam saingan lelaki dan wanita juga memberikan harapan yang tinggi untuk Malaysia meraih pingat emas.

“Agak lama juga olahraga mengalami kemerosotan dan pada temasya di Singapura kita hanya mampu membawa pulang tiga emas. Jadi kali ini, jika mereka dapat sumbang tujuh atau lapan pingat emas, saya yakin kegemilangan sukan olahraga pasti akan kembali.

“Pencapaian terbaik kita ialah sewaktu Sukan SEA di Jakarta, Indonesia pada 1997 yang menyaksikan Malaysia menggondol 16 pingat emas. Selepas sekian lama, saya berharap ada cahaya yang menanti di hujung terowong,” ujarnya.

Mengulas mengenai venue bola sepak, beliau memberitahu, sebanyak empat stadium akan digunakan untuk sukan tersebut yang melibatkan Stadium Shah Alam, Stadium Selayang, Stadium UiTM Shah Alam dan Arena Universiti Malaya.

“Kita tidak mahu ambil risiko hanya menggunakan dua stadium kerana bimbang hujan. Pasukan utama seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand akan beraksi di Stadium Shah Alam dan jStadium Selayang. Seandainya Malaysia ke separuh akhir, baharulah Stadium Nasional akan digunakan sebagai venue,” jelasnya.