Khairul Hafiz layak menyertai kejohanan dunia secara merit selepas memenangi pingat emas 100 meter dalam Sukan SEA 2017 pada Ogos lalu.

Pemegang rekod kebangsaan 100m dari Melaka itu akan menjalani latihan selama sebulan di Jerman bermula Februari 2018 dan selepas itu akan terus ke Birmingham, England untuk beraksi dalam kejohanan dunia pada Mac.

Jurulatihnya Mohd. Poad Kassim berkata, ini adalah kali pertama Khairul Hafiz menyertai kejohanan dalam dewan menerusi acara 60 meter (m).

“Lokasi latihan di Mannheim ini juga adalah tempat yang sama Khairul Hafiz berlatih sebelum Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland pada 2016.

“Latihan di sana pastinya lebih baik selain tidak jauh dengan tempat kejohanan yang bakal disertai oleh Khairul Hafiz di Birmingham dan selepas itu ke Australia untuk Sukan Komanwel.

“Latihan di Jerman itu juga bukan sekadar untuk menghadapi kejohanan dunia tetapi untuk menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan insentif oleh 100PLUS kepada atlet Sukan SEA, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut Khairul Hafiz dan atlet badminton, Goh Jin Wei masing-masing menerima insentif sebanyak RM10,000 atas kecemerlangan yang dilakar dalam sukan disertai mereka.

Sementara itu, Khairul Hafiz berkata, penyertaan dalam kejohanan di Birmingham akan menjadi satu pengalaman baharu buatnya dan fokusnya adalah melakukan yang terbaik buat negara.

“Saya amat teruja untuk menyertai acara 60m kerana pasti menjadi sesuatu yang menarik kerana saya yang sebelum ini (hanya) bersaing dalam acara 100m.

“Saya juga berharap lebih banyak kejayaan dapat dicapai pada tahun depan,” katanya.