Dua daripada rekod itu dilakukan hari ini apabila dia memenangi pingat emas 200m dan pada sebelah petang memena­ngi 4x400m.

Bintang pecut Me­laka itu mengejutkan peminat sukan tanah air kelmarin apabila melepasi garisan penamat 100 meter (m) dengan catatan yang amat pantas, 10.18 saat (s), 0.12s lebih pantas daripada rekod berusia 18 tahun milik Watson Nyambek iaitu 10.30s yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 13 Julai, 1998.

Sehari kemudian, jaguh yang diasah bakatnya di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu meleburkan dua lagi rekod Sukma apabila memenangi perlumbaan separuh akhirnya dalam acara 200m dengan masa 21.14s untuk memadamkan rekod Nazmizan Muhammad, 21.33s dan beberapa jam kemudian menulis rekod baharu 4x100m ketika membantu Melaka memenangi pingat emas acara itu.

Di dalam acara 4x100m, Melaka yang mencatat 39.89s berjaya memadam rekod temasya milik kuartet Sabah iaitu 41.04s yang dilakukan ketika Sukma 2008 di Terengganu.

Tidak berpuas hati dengan hanya rekod Nazmizan dipe­cahkan, atlet berusia 18 tahun itu mengejar rekod Tan Sri Dr. M. Jegathesan dalam final 200m lelaki tetapi hanya mampu mencatat masa 21.03s untuk sekadar memadam rekod Sukma miliknya sendiri yang dicatatkan semalam.

Catatan masanya itu hanya ketinggalan 0.11s di belakang rekod kebangsaan berusia hampir lima dekad milik Jegathesan ia­itu 20.92s yang dilakukan ketika Olimpik 1968 di Mexico City.

Namun, kekecewaanya sedikit terubat apabila pada se­belah petang dia bersama tiga rakannya mencipta rekod baharu 4x400m Sukma pula menerusi catatan masa tiga minit, 12.66s untuk melenyapkan rekod lama milik Terengganu 3:15.34s yang dicipta pada 2010 di Melaka.

Walaupun gagal memadam rekod Jegathesan yang berusia 48 tahun, Khairul Hafiz ketika ditemui pemberita berkata, dia masih yakin mampu berbuat demikian apabila tiba masanya nanti.

“Insya-Allah satu hari nanti saya boleh pecahkan, sukar hendak jangka sebenarnya bila saya mampu memecah rekod. Insya-Allah kalau saya betulkan semua (teknik larian), saya boleh buat yang terbaik.

“Masing-masing punya rezeki, saya tak tahu apa yang berlaku pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas ucapara penyampaian pingat di Stadium Sarawak di sini, hari ini.

Menurut Khairul Hafiz, selepas Sukma, dia akan me­nyertai Terbuka Malaysia di Bukit Jalil pada September ini dan acara 200m merupakan sasaran utamanya dalam kejohanan itu.

Sementara itu ratu pecut negeri Perak, Noor Eewan Syafiqah Mohd. Sabri meng­ungguli perlumbaan akhir 200m wanita, yang menyaksikan dia meleburkan rekod lama milik Petra Nabila Mustafa dari Negeri Sembilan.

Rekod baharu temasya 24.31s yang dicipta atlet berusia 19 tahun itu, lebih laju 0.06s berbanding rekod Petra Nabila 24.37s yang dilakukan di Sabah pada 2002.

Noor Eewan yang turut mencuri tumpuan, juga berpotensi dinobatkan sebagai calon olahragawati setelah dia merangkul empat emas (100m, 200m, 4x100m dan 4x400m) dan memecahkan dua rekod temasya.

Selain 200m, atlet itu membantu kuartet 4x100m Perak mencatat rekod baharu 46.43s semalam untuk memadamkan rekod Sukma 2008 milik Sabah 47.84s yang dilakukan di Terengganu.