McGregor secara terbuka telah menghina agama Islam menjelang pertarungan bagi me­rebut gelaran dunia lightweight UFC229, sebelum petinju Rusia itu diumumkan sebagai pemenang selepas lawannya yang berasal dari Ireland itu mengangkat bendera putih pada pusingan keempat.

Sebaik sahaja pengadil memberhentikan perlawanan, Nurmagomedov melompat keluar dari gelanggang berpagar untuk menyerang rakan sepelatih McGregor, Dillon Danis yang dikatakan mencaci agamanya.

Ramai yang percaya tindakan Nurmagomedov itu disebabkan provokasi keterlaluan McGregor sendiri, yang secara berterusan menghina agama, negara dan bapa petinju Rusia tersebut. Sebelum pertarungan berlangsung lagi Nurmagomedov telah lama menahan sabar apabila McGregor menyerang bas pasukannya pada April lalu.

Sejak hari kemenangan tersebut, populariti Nurmagomedov mencanak naik bagai roket apabila kejayaannya itu menjadi tular di media sosial, malah terdapat pandangan yang mula membandingkannya dengan bintang bola sepak Mesir, Salah.

Salah menjadi idola peminat dari seluruh dunia selepas bintang sayap Liverpool itu memecah rekod jaringan Liga Perdana Inggeris apabila meledakkan 32 gol daripada 38 perlawanan musim lalu.

“Dia kini 100 kali lebih popular berbanding Mo Salah. Terdapat banyak pendapat mengarut yang menyatakan peningkatan ketara peminat yang tidak pernah menonton atau mengambil tahu tentang UFC mula mengikuti perkembangan sukan tersebut semata-mata kerana Khabib seorang Muslim, jadi semua orang mahu menyaksikan Conor kalah.

“Itu merupakan salah satu gambaran mengapa Khabib sangat popular. Walau bagaimanapun, saya berpendapat feno­mena yang berlaku ini bukanlah disebabkan Khabib beragama Islam semata-mata, tetapi terdapat faktor lain.

“Saya tidak fikir ada kaitan dengan agama,” kata pengamal seni bela diri campuran (MMA), Mohammad Yahya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dipetik kenyataannya menerusi portal berita gulfnews.com.

Bagi bekas pejuang MMA dari Britain, Tam Khan yang berketurunan Afghanistan pula, berkata, Nurmagomedov dianggap sebagai seorang wira bagi peminat beragama Islam.

“Khabib dianggap sebagai wira kerana umat Islam berasakan pada zaman ini dengan situasi politik, dan bagaimana dunia berada dalam kekacauan disebabkan Islamophobia, apa yang dilakukannya dilihat se­perti seorang wira.

“Kemenangan itu dilihat seperti menghentikan tindakan seorang pembuli. Saya seorang yang memiliki pemikiran barat dan memahami perkataan gurauan, tetapi setiap usikan itu ada batasnya dan apa yang Conor lakukan sudah keterlaluan.

“Khabib kini menjadi topik perbualan semua orang, ramai kalangan wanita dan gadis remaja yang berkongsi kisah tentangnya di laman sosial masing-masing. Mereka ini sebenarnya bukanlah peminat UFC pun. Dia menjadi wira dalam sekelip mata kerana tutur katanya yang lembut, merendah diri dan sangat menghormati orang lain.

“Memang dia ada terlepas laku, tetapi kita semua faham mengapa, dan berharap dia boleh menjadi model peranan kepada individu yang tidak yakin kepada diri sendiri,” tegasnya.