Pemain berusia 24 tahun itu kini bakal berdepan rakan se­negaranya dari AS, Madison Keys yang tidak menghadapi banyak masalah untuk mengetepikan seorang lagi pemain tuan rumah, CoCo Vandeweghe 6-1, 6-2.

Ini kali pertama dua pemain tuan rumah bertembung sesama sendiri dalam final perseorangan wanita Terbuka AS sejak 2002, pertarungan yang menemukan dua sahabat dalam jelajah tenis.

“Saya berdepan banyak ujian, namun tidak pernah berputus asa. Saya tidak menyerah kalah dan tidak akan membenarkan orang lain merampas kejayaan saya,” kata Stephens, yang turun sebagai pemain bukan pilihan.

Kejayaan Stephens melangkah ke final Grand Slam buat kali pertama cukup menakjubkan kerana dia kini berada pada ranking ke-83 dunia selepas menjalani pembedahan kaki kiri pada Januari.

Sementara itu, Keys, 22, pilihan ke-15 pula menyingkirkan Vandeweghe dalam masa sejam, biarpun turut berdepan isu kecederaan.

“Ini adalah satu daripada hari-hari yang mana saya berjaya me­nunjukkan keupayaan sebenar,” kata Keys, yang turut ke final Grand Slam buat kali pertama. – AGENSI