Dalam masa sama, baginda juga berharap usaha gigih dan komitmen PBM dalam membangunkan sukan ini, agar diminati oleh pelajar sekolah, mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) dan masyarakat.

Titah baginda, salah satu langkah yang perlu diusahakan bersungguh-sungguh ialah untuk menempatkan sukan besbol di dalam takwim Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

“Saya juga berharap program pencarian bakat perlulah bermula dari peringkat sekolah rendah atau prasekolah lagi dan bekerjasama dengan pihak-pihak berkenaan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan majlis penyerahan peralatan sukan besbol dan pelancaran klinik besbol Perlis 2018 di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini, semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Presiden PBM, Datuk Wan Azman Wan Omar dan Presiden Persatuan Besbol Perlis, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap, Datuk Dr. Mohd. Sofi Osman dan Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Unimap, Universiti Putra Malaysia (UPM), Jabatan Pendidikan negeri dan Now Asia International Sdn Bhd. (AbangAbu).

Dalam pada itu, baginda yang juga merangkap Penaung Persekutuan Besbol Malaysia turut menggalakkan agar PBM menghantar pemainnya menyertai pelbagai program bertaraf antarabangsa seterusnya mengharumkan nama persatuan itu ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, lebih 200 orang pelajar sekolah di negeri ini mendapat pendedahan dalam sukan besbol di bawah bimbingan dua orang jurulatih yang dibawa daripada Jepun dalam program tersebut. - UTUSAN ONLINE