Khairul Hafiz mendakwa, sepatutnya berlaku permulaan false melibatkan peserta dalam saingan akhir 100m tersebut namun tiada tembakan kedua dilepaskan pegawai pertandingan sekali gus membenarkan ia terus berlangsung.

Dalam aksi tersebut Khairul Hafiz yang mewakili Melaka menamatkan saingan akhir di kedudukan kelima dengan catatan terburuknya 10.64 saat.

Pemenang acara riben biru itu menjadi milik Vinoj Suranjaya De Silva dari Sri Lanka yang mencatat 10.27s manakala perak diraih Jonathan Nyepa (ATM) dengan catatan 10.40s dan Ahmad Haikal Hakimi Maruzzaman (Melaka) memperoleh gangsa dengan catatan 10.58s.

“Saingan akhir tersebut sepatutnya false start tetapi ia tetap diteruskan dan akibatnya saya terpaksa bermula lambat kerana sebelum itu menjangkakan saingan akan dihentikan dan apa yang berlaku ini memang tidak mengembirakan saya.

“Kelewatan acara saingan akhir daripada jadual asal juga menjadi sebab tumpuan saya terganggu kerana kami tidak terpaksa menunggu hampir dua jam sebelum masuk ke trek,” katanya kepada pemberita selepas tamat saingan akhir kejohanan tersebut di Stadium Nasional Bukit Jalil, sini, hari ini.

Dalam saingan akhir 100m wanita, Zaidatul Husniah yang mewakili ATM menamatkan larian dengan catatan 11.65s selaku pemenang pingat emas menewaskan R.M Rumeshika Rathnayake dari Sri Lanka di kedudukan kedua dengan catatan 11.76s manakala S. Komala Shally (ATM) sekadar meraih pingat gangsa apabila mencatat 11.91s.

Sementara itu, dalam saingan akhir lompat tinggi wanita akhir menyaksikan atlet tumpuan negara, Yap Sean Yee yang mewakili ATM sekadar meraih perak selepas melakukan catatan 1.66m tewas kepada atlet muda, Ngu Jia Xin dari Perak dengan catatan 1.71m manakala pingat gangsa milik Nick Ezzany Sarawa Zulkarnain dari Sarawak selepas melepasi ketinggian 1.40m. - UTUSAN ONLINE