Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata tinjauan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali semalam mendapati ada beberapa bahagian terma­suk panel dan bumbung perlu diganti dan kerja-kerja penambahbaikan tersebut telah diarah dimulakan segera.

“Saya telah setuju kerja penambahbaikan dilakukan secepat mungkin kerana Sukan SEA akan bermula tidak sampai sebulan lagi. Hari ini, KBS, kerajaan Selangor, selaku tuan punya stadium dan Majlis Bandaraya Shah Alam sedang berbincang skop penambahbaikan dan kerja-kerja membaiki kerosakan.

“Walaupun kerajaan Selangor pemilik stadium, tetapi dalam hal ini, kita perlu ada kerjasama kerana mereka ada kekangan kewangan. Saya yakin, kerja-kerja membaiki kerosakan stadium akan disiapkan dan selamat digunakan sebelum SukanSEA bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Dialog TN50 x:Profesional Muda Petronas Merencana Masa Depan yang turut diha­diri Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Kerosakan bahagian bumbung Stadium Shah Alam yang menjadi antara venue acara bola sepak KL2017 mendapat perhatian apabila ada objek terjatuh akibat angin kencang dan hujan lebat ketika perlawanan persahabatan Malaysia B-22 dan Myanmar B-22, Khamis lalu.