Keputusan muktamad Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu akan mengambil kira situasi politik semasa antara kedua-dua negara berkenaan terutamanya berhubung larangan perjalanan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia, baru-baru ini.

“Keputusan muktamad mengenai sama ada perlawanan itu akan dilangsungkan di sebuah gelanggang berkecuali (atau tidak) akan dibuat pada 8 Mei ini.

“AFC kini menanti maklumat terkini daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika lara­ngan perjalanan itu masih dikuatkuasakan atau sudah ditarik balik,” kata kenyataan media badan induk itu di sini.

AFC sebelum ini menetapkan 14 April lalu sebagai tarikh akhir kepada Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) untuk menyerahkan cadangan gelanggang berke­cuali perlawanan itu setelah Malaysia memohon untuk tidak bermain di Stadium Kim Il Sung, Pyongyang atas sebab keselamatan.

AFC kemudiannya mengadakan perbincangan dengan beberapa negara anggotanya yang mampu menjadi tuan rumah berkecuali perlawanan yang kini dijadualkan semula pada 8 Jun ini.

Hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Pyongyang tegang sejak kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang pada 13 Februari lalu.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan Kelayakan Akhir Piala Asia 2019 selepas kempen liga timbal balik hingga Mac tahun depan, akan meraih baki 12 tempat pusingan akhir di Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Turut berentap dengan Malaysia dan Korea Utara dalam Kumpulan B ialah Lebanon dan Hong Kong yang ditewaskannya 2-0 di Stadium Sports City, Beirut, 28 Mac lalu.

Malaysia hanya pernah layak secara merit ke dua pusingan akhir Piala Asia, 1976 (Iran) dan 1980 (Kuwait) manakala pada 2007, kita layak automatik sebagai tuan rumah bersama Thailand, Indonesia dan Vietnam.