Meskipun senarai penuh atlet yang akan beraksi masih belum dimuktamadkan, namun ketua kontinjen, Huang Ying How percaya Malaysia akan menghantar kontinjen yang lebih besar berbanding Glasgow.

Katanya, penanda aras utama kepada setiap atlet ialah melayakkan diri ke temasya itu kerana ia merupakan cerminan kepada sebenar kepada program pembangunan sukan di negara ini.

“Saya melihat kita berada di landasan terbaik untuk menampilkan aksi cemerlang dan saya bukan sahaja ingin melihat pingat emas tetapi pada masa sama ini melihat prestasi atlet di bawah Program Podium beraksi menentang atlet bertaraf dunia.

“Paling penting sebelum kita mendapatkan pingat emas ialah kita perlu layak dahulu ke temasya itu.

“Saya juga percaya, kita akan lakukan lebih baik (kutipan pingat emas) kali ini,” katanya selepas Majlis Apresiasi Media bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini hari ini.

Malaysia sebelum ini menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik di temasya itu selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-12 empat tahun lalu di Glasgow.

Aksi di Glasgow menyaksikan kontinjen negara mengumpul enam emas, tujuh perak dan enam gangsa.- UTUSAN ONLINE