Juara lima kali Grand Slam dan bekas pemain No. 1 dunia itu menewaskan Roberta Vinci 7-5, 6-3 dalam aksi pembukaan pada kejuaraan tenis Grand Prix Porsche.

“Perasaan ini merupakan yang terbaik di dunia. Saya menantikan saat ini sudah cukup lama,” kata Sharapova mengenai kepulangannya ke gelanggang sebagai pemain profesional.

Sebelum perlawanan, Sharapova menerima sambutan kurang memberangsangkan daripada 4,500 penonton, yang sekadar memberikan tepukan sebagai tanda hormat dan segelintir peminat kelihatan bersiul sewaktu dia memasuki arena yang menyaksikan tiket habis dijual.

Bintang tenis Rusia itu kelihatan tidak takut berdepan dengan penerimaan orang ramai, walaupun penyertaannya menerusi tiket wildcard pada pertandingan tersebut mencetuskan perdebatan pelbagai pihak.

“Perkara sebegini tidak seharusnya menjadi fokus anda, kerana setelah berbulan-bulan anda berlatih. Apa yang perlu ada di dalam fikiran ialah bersedia untuk beraksi sebaik sahaja anda memasuki ke dalam gelanggang,” katanya.

Sharapova juga tidak kelihatan marah berhubung hukuman penggantungan yang dikenakan ke atasnya.

“Saya bukan seorang yang pemarah. Saya dapat melupakannya dengan cepat. Saya belajar dan bekerja. Malah, saya juga terbabit dalam perniagaan dan menjalinkan persahabatan yang tidak pernah berkesempatan untuk saya lakukan sebelum ini,” kata Sharapova yang mengharungi kehidupan normal, sehinggalah dia kembali ke gelanggang latihan, Januari lalu.

Perlawanan hari ini yang pertama buat pemain itu sejak tewas kepada Serena Williams pada suku akhir Terbuka Australia 2016 dan aksi sulungnya di atas gelanggang tanah liat dalam tempoh hampir dua tahun.– AGENSI