Syed Azmir Syed Ahmad
Syed Azmir Syed Ahmad

Penggantungan yang tidak sah, tiada penyelarasan antara dua jawatankuasa, tiada proses pembelaan diri dan sikap pilih bulu didakwa sebagai antara ciri-ciri kepincangan pentadbiran PSM dalam tindakannya menggantung Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) daripada menyertai sebarang kejohanan.

PSM yang dipimpin Datuk Seri Ahmad Ismail juga dikatakan mengabaikan kuasa tertinggi yang terletak dalam tangan Ahli Majlis Tertinggi persatuan sebaliknya membuat banyak keputusan penting menerusi segelintir pegawai sahaja yang digelar Exco (Jawatankuasa Eksekutif).

Hal ini dibongkar oleh Ahli Majlis PSM, Syed Azmir Syed Ahmad kepada Utusan Malaysia di sini.

PSTPs pimpinan Syed Azmir telah dikenakan sekatan penyertaan untuk sebarang kejohanan anjuran PSM sepanjang 2017 oleh Exco PSM pada 2 April lalu hanya kerana tidak menyertai Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-53 di Serdang, Selangor pada Februari lalu.

“Kalau mengikut Perlembagaan PSM, sekatan terhadap PSTPs tidak sah kerana diputuskan oleh Exco PSM. Di manakah kredibiliti Exco ini, yang hanya terdiri daripada sekumpulan kecil Ahli Majlis Tertinggi PSM, sehingga boleh mempunyai kuasa yang cukup besar untuk menghukum sesebuah ahli gabungan seperti Perlis?

“Sepatutnya Jawatankuasa Tatatertib PSM bersidang dalam tempoh 14 hari setelah menerima notis tindakan Jawatankuasa Pertandingan PSM, dan bukannya Exco.

“Keputusan sekatan itu juga mestilah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung PSM (Datuk Mohd. Radzuan Abdullah) dalam tempoh 72 jam selepas mesyuarat jawatankuasa sebenar membincangkannya.

“Seterusnya PSM perlu bawa kepada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi untuk kelulusan malah proses pembelaan diri pun (oleh PSTPs untuk menjawab keputusan sekatan penyertaan itu) tidak berlaku walaupun selepas dihukum.

“Salinan surat yang memaklumkan sekatan itu juga tidak ditujukan kepada semua ahli gabungan lain PSM dan tiada nombor rujukannya,” kata Syed Azmir yang merupakan bekas pengurus pasukan wanita ke Sukan Asia Incheon 2014.

Anak kepada bekas pengurus pasukan sepak takraw Malaysia yang memenangi pingat emas Sukan SEAP Bangkok 1975, Syed Ahmad Syed Ali itu seterusnya berkata tindak-tanduk PSM dalam menangani kes PSTPs menyerlahkan pelanggaran kuasa oleh kepemimpinan badan induk itu sekarang.

“Ada negeri ahli gabungan PSM (di Semenanjung) yang sudah dua kali tidak menyertai Piala Khir Johari tidak pula dikenakan tindakan. Kenapa PSM boleh bersikap pilih bulu?,” katanya.

Syed Azmir turut mempersoalkan fasal apakah dalam perlembagaan badan induk itu yang memberinya hak melantik Majlis Sukan Negeri Perlis menggantikan PSTPs dalam kejohanan anjuran PSM.

“Hal ini jelas sekali menjatuhkan imej dan maruah PSTPs. Selagi PSTPs sebagai badan sukan yang sah dan belum dibatalkan pendaftarannya oleh Pesuruhjaya Sukan, majlis sukan negeri tidak berhak mengambil alih peranan dan fungsi PSTPs,” katanya.