Senyumannya tetap terukir walaupun gagal meraih sebarang pingat dalam peringkat akhir disiplin 10 meter platform individu di Pusat Akuatik Maria Lenk semalam.

Ditanya kenapa dia sentiasa tersenyum, Nur Dhabitah berkata itu adalah caranya untuk menghilangkan perasaan gementar di samping menunjukkan betapa dia menikmati pertandingan dalam penampilan pertamanya di Olimpik.

“Saya masuk final pun dah puas hati sebab dapat masuk dengan ‘nyawa-nyawa ikan’. Saya rasa sangat bertuah sebenarnya,” katanya.

Diajukan soalan tidakkah dia bimbang rakyat Malaysia yang suka mencipta isu akan menganggapnya sebagai tidak serius, gadis berusia 17 tahun itu berkata: “Mulut orang tak boleh ditutup, anaggaplah sebagai komen positif untuk memperbaiki diri.”

Dalam pertandingan itu, Nur Dhabitah membuat kejutan dengan menduduki tempat kesembilan dengan pungutan 338.00 mata sekali gus memintas seniornya Pandelela Rinong Pamg yang berada di anak tangga ke-11 daripada 12 peserta akhir.

Nur Dhabitah dilihat boleh memperbaiki kedudukannya jika terjunan ketiga dan keempatnya dapat dilakukan dengan lebih sempurna.

Kepada soalan adakah dia kini sudah bersedia untuk menggantikan Pandelela dan seorang lagi penerjun senior negara Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah berkata, perkara itu adalah salah satu impiannya dengan syarat perlu berusaha memperbaiki diri.

Katanya, pada masa ini penerjun senior itu banyak membimbingnya dan dia sendiri sentiasa mendapatkan padangan Pandelela dan Jun Hoong.

“Adalah satu penghormatan buat saya apabila berpeluang bersaing di pentas yang sama dengan Pandelela.

“Saya juga rasa terkejut kerana menamatkan persaingan kali ini di hadapannya,” katanya yang sebelum itu menamatkan pertandingan separuh akhir di tempat kelapan. 
– UTUSAN