Ketua Kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, mereka juga perlu menandatangani borang aku janji berhubung sifar doping yang akan diedarkan menerusi perjumpaan dengan pengurus-pengurus pasukan.

“Ujian saringan doping dengan kerjasama Adamas (Agensi Antidoping Malaysia) ini juga akan melibatkan semua atlet sekurang-kurangnya sekali.

“Bagi atlet sukan berpasukan, ujiannya dijalankan secara rambang dan bagi sukan berisiko tinggi kes ini, akan melibatkan kesemua atletnya.

“Mereka yang didapati positif hasil ujiannya, akan digugurkan daripada kontinjen negara, tiada peluang kedua,” katanya yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara.

Terdahulu Azim yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia ini mengadakan mesyuarat dengan Pengarah Adamas, Datuk Dr. Ramlan Aziz di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Mengenai jenis sukan berisiko tinggi, Ramlan berkata: “Sukan-sukan ini ialah yang mempunyai ‘riwayat’ lalu kes doping.

“Kami mahu semua sukan turut berwaspada kerana yang bukan berisiko pun mungkin jadi sambil lewa dan mampu terambil (bahan larangan lalu gagal doping).

“Enam bulan ialah tempoh sesuai kerana ada atlet mengambil ubat-ubatan, suplemen dan vitamin secara berulang. Tiga bulan terlalu singkat, setahun pula tidak relevan. Kami perlu tahu walaupun mungkin bahan itu diambil sebagai rawatan kecederaan atau penyakit.” - UTUSAN ONLINE