Berjaya atau tidak kontinjen negara merealisasikan sasaran dalam temasya Jakarta-Palembang bertemakan Energy of Asia itu kini terpulang kepada persembahan yang bakal mereka pamerkan dalam setiap pertandingan tambahan pula Malaysia hadir dengan status terbaik rantau Asia Tenggara selepas menjuarai Sukan SEA 2017.

Malaysia juga mahu mengubat kekecewaan kempen Sukan Komenwel di Gold Coast, April lalu yang menyaksikan sasaran 10 terbaik keseluruhan gagal dicapai apabila menamatkan kempen di tempat ke-12.

Harapan juga disandarkan kepada kontinjen negara di Jakarta-Palembang agar mampu mengatasi pencapaian empat tahun lalu yang menyaksikan Malaysia menamatkan kempen Sukan Asia 2014 di Incheon dengan lima pingat emas, 14 pingat perak dan 14 gangsa.

Berdasarkan prestasi semasa atlet negara ketika ini, tujuh pingat emas itu mampu dituai menerusi berbasikal, karate, sepak takraw, pencak silat dan tenpin boling malah Majlis Sukan Negara (MSN) percaya pingat emas ‘bonus’ boleh hadir daripada karate, pelayaran, skuasy serta hoki lelaki.

Dalam kempen temasya edisi ke-18 ini, Malaysia menghantar 423 atlet iaitu 182 daripada Kategori A dan 241 daripada Kategori B.

Mereka akan menyertai 35 daripada 40 jenis sukan, 49 daripada 67 jenis disiplin dan 207 daripada 463 acara.

Sementara itu, temasya yang dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo menyaksikan tuan rumah menyajikan persembahan kebudayaan yang meriah melibatkan kira-kira 6,000 tenaga kerja terlibat.

Panggung utama berbentuk sebuah gunung dihiasi lebih 12,775 bunga selain mempunyai air terjun mengalir melibatkan 140,000 liter air selain dibantu dengan teknologi projektor dan pencahayaan membuatkan penonton terpukau dengan hasil karya 350 orang anak bangsa di Indonesia.

Kemuncak upacara pembukaan rasmi Sukan Asia 2018 apabila obor dibawa masuk untuk menyalakan api temasya menandakan bermulanya pertandingan hingga 2 September ini.

Antara tetamu kehormat Malaysia yang hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Acara perarakan menyaksikan kontinjen Malaysia diwakili 115 orang atlet dan pegawai mengenakan pakaian kameja putih bagi lelaki dan blouse untuk wanita dengan corak jalur kuning-hitam, megah berjalan melambai ke arah penonton dengan didahului ketua kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi dan ratu karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Antara artis terkemuka Indonesia yang menjayakan majlis pembukaan itu ialah Anggun Cipta Sasmi serta bintang dangdut mereka, Via Vallen.