Timbalan Pengarah Bahagian Sukan KPM, Zainal Abas berkata, pihaknya menyambut baik usaha mana-mana syarikat swasta yang menganjurkan kejohanan sepak takraw kerana ia memberi ruang kepada penggiat sukan tersebut untuk bertan­ding.

“Terima kasih diucapkan kepada Utusan Malaysia di atas penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Utusan yang mana kami sentiasa mengalu-alukan mana-mana syarikat swasta be­kerjasama dengan kami untuk memberi ruang kepada atlet bertanding.

“Kejohanan ini merupakan kesinambungan daripada edisi-edisi yang lalu dan KPM sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama dengan adanya pe­nganjuran kejohanan seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kejohanan tersebut terbahagi kepada beberapa kategori iaitu Bawah 12 (B-12), Bawah 14 (B-14), Bawaj 16 (B-16), Bakat Baru, Veteran dan Terbuka dan jumlah penyertaan yang diterima sebanyak 334 regu.

Tambah Zainal lagi, kejohanan itu juga dilihat mampu menjadi platform kepada pelajar sekolah terutamanya untuk kekal bertanding dalam pertandingan kompetitif dan menjadi medan mencungkil bakat baharu.

“Kejohanan ini memberi peluang kepada pelajar sekolah selepas mereka menyertai MSSM (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia) untuk terus bertan­ding dan itu pasti membuatkan mereka sentiasa meneruskan latihan.

“Lagi banyak pertandingan diadakan lagi baik untuk pelajar sekolah kerana ia mampu memastikan mereka sentiasa bersedia untuk beraksi dalam pertandingan kompetitif,” katanya.