NAZIFUDDIN NAJIB
NAZIFUDDIN NAJIB

Sembilan daripadanya merupakan sukan penyumbang 34 pingat emas kontinjen negara yang muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 iaitu silat (10), boling padang (tujuh), luncur ais (lima), ski air (empat), hoki (tiga), petanque (dua) dan masing-masing satu (ragbi, bola jaring dan kriket).

Selebihnya yang turut dirayu MOM menjelang tarikh tutup esok yang ditetapkan jawatankuasa penganjur Filipina iaitu pingpong, hoki ais, mendayung dan tenis merupakan bukan penyumbang emas Malaysia, tahun lalu.

“Jawatankuasa Sukan SEA Filipina 2019 pada mulanya menyenaraikan hanya 30 jenis sukan untuk dipertandingkan tetapi kami rasa jumlahnya boleh cecah sehingga 40,” katanya.

Temasya ke-30 dijadualkan dari 30 November hingga 10 Disember 2019 di tiga bandar raya gugusan Filipina iaitu Clark, Subic dan Metro Manila.

Antara jenis sukan yang baharu atau dikembalikan penganjur ialah besbol dan sofbol, jujitsu (di bawah judo), kurash (gusti), arnis dan sukan tarian malah dijangkakan terdapat sukan elektronik (e-sport) yang cuba ditambah negara-negara jiran Asia Tenggara lain.

Mengenai nasib berbasikal trek penyumbang 11 emas Malaysia dalam Sukan SEA 2017, katanya, “rayuan mereka sukar dikemukakan kerana tuan rumah memberi alasan penggugurannya berkaitan ketiadaan velodrom.”

Senarai awal lain sukan yang dipertandingkan Sukan SEA Filipina 2019 turut melibatkan olahraga, akuatik, memanah, badminton, bola keranjang, biliard dan snuker, boling, tinju, berbasikal lebuh raya, ekuestrian dan polo, lawan pedang dan bola sepak.

Lain-lain yang diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan SEA di Manila, 16 Mei lalu ialah golf, gimnastik, karate, pelayaran, sepak takraw, menembak, skuasy, taekwondo, triatlon, bola tampar, angkat berat, wusyu dan muay.

Sementara itu nasib enam jenis sukan yang merayu ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos ini di bawah Kategori A (ditanggung penuh) berbanding B (pembiayaan sendiri), bakal diketahui dalam mesyuarat MOM, 20 dan 21 Jun ini.

Antara sukan itu ialah olahraga, akuatik (renang dan renang berirama), pingpong dan ski jet.

Kontinjen negara akan menyertai 35 jenis sukan dan 195 acara dalam temasya ke-18 itu yang dianggotai sekitar 437 atlet dengan 195 daripadanya beraksi di bawah Kategori A.

MOM perlu menghantar senarai atlet negara kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (Inasgoc) pada 22 Jun ini.