Beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah di Kompleks Sukan Jakabaring, trio negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd. Razak selaku tekong, Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) berjaya mengawal emosi bagi meraih pingat emas keempat negara selepas menang 18-21, 22-10, 21-11.

Regu negara bermula dengan goyah apabila melakukan beberapa kesilapan pada penghujung set pertama dan akhirnya terpaksa menyerah.

Keadaan kelihatan akan bertambah buruk apabila trio negara ketinggalan 7-11 dalam set kedua namun berjaya bangkit untuk mengheret permainan ke set penentuan dan pada set terakhir regu negara dilihat cemerlang dan akhirnya meraih kemenangan 21-11.

Ini adalah pingat emas pertama negara menerusi sepak takraw dalam Sukan Asia sejak edisi 1994 di Hiroshima dan ketiadaan Thailand dalam acara antara regu bagi edisi ke-18 nyata memberi kesan positif kepada skuad negara.

“Kemenangan yang sukar dijangka kerana Indonesia mempamerkan permainan yang berkualiti hari ini. Ini merupakan satu kemenangan berharga buat kami.

“Pada set kedua kami bermain dengan agak perlahan tetapi selepas bangkit daripada ketinggalan, semangat itu naik mendadak dan tiada apa yang kami fikirkan selain ingin menang dalam perlawanan ini,” kata Farhan selepas tamat permainan.

Sementara itu, ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad bersyukur dengan kejayaan itu dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam mempersiapkan skuad sepak takraw negara ke temasya edisi ke-18 itu.

“Saya menangis melihat keja­yaan ini selepas sekian lama kita kemarau pingat emas dalam acara ini.

“Mereka (pemain) memberikan komitmen sepenuhnya semasa beraksi dan berjaya memberikan kejayaan kepada pasukan negara,” katanya. – UTUSAN