Jika jurulatih ‘Pac Man’, Buboy Fernandes semalam meramalkan anak buahnya akan menang lebih awal pertarungan 12 pusingan itu, Joel Diaz daripada kem ‘La Maquina’ menyindir: “Mereka boleh buat sebarang rancangan sehinggalah kena penangan sulung kami di gelanggang!

“Cakaplah apa sahaja yang mereka mahu tetapi pada akhir­nya hanya petinju terbaik yang mempamerkan kemampuan terbaik (Matthysse) akan menang. Kami ke sini untuk mempertahankan gelaran,” tegasnya sebelum sesi latihan pagi di hotel di sini.

Matthysse dari Argentina yang setinggi 1.69 meter dengan jangkauan 175 sentimeter tampil dengan rekod 39 kemenangan (36 tumbangan - KO) dan empat kekalahan selepas menumbangkan Tewa Kiram di Inglewood Januari lalu untuk merangkul tali pinggang WBA.

Diaz juga tidak mahu ambil pusing bahawa cabaran Pacquiao dalam ‘Pertarungan Juara-juara’ Ahad ini bakal disaksikan Presi­den Filipina, Rodrigo Duterte yang dikhabarkan akan turut berada di Arena Axiata, Bukit Jalil Ahad ini untuk memberikan sokongan moral.

“Sejujurnya saya tidak fikir siapa datang atau tidak. Kami datang ke Kuala Lumpur, Malaysia yang orang-orangnya me­nyambut kami dengan baik untuk bertinju dalam pertarungan antara yang terbaik tahun ini,” kata warga Mexico itu.

Namun Diaz tetap menyifatkan Pac Man seorang petinju yang hebat dengan serangan tangan dan gerak kaki yang pantas, bermakna menewaskannya bakal memberikan makna yang besar kepada karier tinju profesional Matthysse, 36.

La Maquina turut melaung­kan keazamannya untuk menge­kalkan gelaran sebagai penawar kegagalan skuad Argentina dalam Piala Dunia setelah tumpas 3-4 kepada Perancis dalam pusingan kedua.

Mengenai kempen yang yang sedang berlangsung di Rusia, Matthysse memilih Perancis selaku bakal juara edisi ke-21 di Moscow Ahad ini.

“Bukan tahun yang bagus bagi kami dalam Piala Dunia walaupun pasukan kami sudah cuba sedaya upaya. Tahun ini masih tahun yang penting bagi tinju Argentina (Ahad ini),” katanya.

Sementara itu Pacquiao me­nyangkal dakwaan kurangnya akti­viti promosi ‘Pertarungan Juara-juara’ oleh syarikat penganjurannya MP Promotion di sekitar ibu kota malah menyifatkan mereka mendapat sokongan banyak pihak di negara ini sejak Mei lalu.

Seperti sidang akhbar pertama di sini 20 April lalu, dia turut mengulangi keyakinan bahawa pertarungan mereka yang bermula 8 pagi itu tetap tidak akan terjejas dengan tumpuan seluruh dunia terhadap perlawanan akhir Piala Dunia itu yang berlangsung sebelah malam waktu Malaysia.