Leow Lai Kwan, 51, berkata, dia dan suaminya yang menonton siaran langsung Kejohanan Dunia di televisyen pada pukul 2 pagi cemas sepanjang saingan.

Katanya, saingan amat sengit kerana mata yang memisahkan di antara Jun Hoong dan penerjun lain, terutama dari China begitu rapat.

“Sudah tentu saya amat gembira kerana anak saya akhirnya memenangi pingat emas Kejohanan Dunia. Setelah habis pertandi­ngan, dia menghubungi saya dan memberitahu tidak menyangka kini bergelar juara dunia.

“Jun Hoong memberitahu sepanjang terjunan dia tidak melihat papan markah kerana tidak mahu memberi tekanan kepada dirinya sendiri.

“Itu mungkin membantunya muncul juara,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Menurut Lai Kwan, sebelum bertanding, anaknya ada menghubunginya sekadar memberitahu akan memulakan aksi.

Katanya, dia dan ahli keluarganya yang lain tidak mahu kerap menghubungi Jun Hoong sebelum pertandingan kerana enggan memberikan tekanan kepadanya.

“Kami memang yakin dia mampu memenangi pingat, namun kejayaan memenangi emas memang tidak dijangka langsung apatah lagi dia berjaya memecah dominasi penerjun China,” katanya.

Sementara itu, adik Jun Hoong, Cheong Jun Yeng, 24, berkata, kemenangan kakaknya kali ini amat bermakna selepas memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio bersama gandingan Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama.

Menurutnya, kemenangan di Budapest adalah kemenangan individu, berbeza dengan kejayaan yang dilakar di temasya Rio tahun lalu.

“Setiap kejayaan sudah tentu kegembiraannya berbeza. Kejayaan di Olimpik dalam acara berpasangan manakala di Kejohanan Dunia, Jun Hoong beraksi dalam acara individu.

“Dalam acara individu, semuanya bergantung kepada dirinya sendiri. Selagi dia melakukan yang terbaik, sudah tentu ada pingat untuknya namun kejayaan memenangi pingat emas amat mengejut kami sekeluarga,” katanya.