Negara kita (Malaya ketika itu) pula kembali menyertai temasya dalam dua sukan iaitu olahraga (Abdul Rahim Ahmad) dan angkat berat (Chung Kam Weng, Tan Kim Bee) selepas tidak menghantar atlet pada 1954 kerana berdepan masalah kewangan.

Berlangsung di Cardiff, Wales dari 18-26 Julai, negara itu muncul tuan rumah pertama yang memperkenalkan Queen’s Baton Relay yakni upacara larian obor menjelang temasya yang kemudiannya kekal hingga ke hari ini.

Sebanyak 1,130 atlet mengambil bahagian dalam sembilan jenis sukan yang dikekalkan jumlahnya sejak 1950 iaitu olahraga, lawan pedang, tinju, angkat berat, gusti, renang/terjun, boling padang, berbasikal dan mendayung.

Penonton yang ingin menyaksikan pertandingan di venue yang ditetapkan dikenakan bayaran, namun ia tidak langsung menghalang ribuan penonton yang datang apabila 178,000 tiket terjual sepanjang temasya.

Semua venue berlangsung dengan lancar kecuali di Cardiff Arms Park tempat acara pembukaan dan penutup apabila berlaku satu protes anti-apartheid yang ditujukan kepada kontinjen Afrika Selatan oleh sekumpulan penonton.

Kumpulan protes ini melahirkan rasa tidak puas hati kerana Afrika Selatan hanya menyenaraikan atlet berkulit putih. Berikutan insiden itu, Afrika Selatan bertindak keluar daripada gabungan Komanwel pada 1961 dan hanya menyertai semula temasya pada 1994.

Begitupun Wales tetap bangga menjadi tuan rumah kerana sebagai sebuah negara kecil, mereka berjaya mengendalikan kebanjiran atlet dan temasya terbesar dalam sejarah Sukan Komanwel.

England kekal sebagai juara keseluruhan buat kali keempat dalam sejarah temasya dengan meraih 29 emas mengetepikan Australia serta Afrika Selatan di tempat kedua dan ketiga.