Zolkples Embong

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan, pihaknya sudah pun menghantar semua buku panduan teknikal tersebut untuk disemak dan telah ada beberapa daripadanya dikembalikan kepada pihaknya.

“Buku teknikal masih dalam semakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana di bawah jawatankuasa sukan dan teknikal. Tetapi MASOC juga terlibat (melakukan semakan). Sesetengah sukan telah pun mendapat kelulusan IF. Sekarang ini (mana yang sudah lulus) dalam proses percetakan.

“Kebanyakan sukan lain, kita masih tunggu pengiktirafan daripada IF. Kita harap dapat selesaikan buku panduan teknikal dalam bulan ini juga,” katanya ketika diminta mengulas tentang isu kelewatan tersebut.

Sebelum ini sudah dua kali usaha MASOC untuk menyiapkan buku panduan teknikal itu mengikut jadual gagal walaupun Zolkples pernah memberi jaminan buku itu akan disiapkan untuk diedar ketika mesyuarat bersama semua ketua kontinjen (CDM) yang telah diadakan pada 18 dan 19 Februari lalu.

Beliau memberi jaminan tersebut pada 20 Januari lalu ketika menafikan berlakunya kelewatan seperti didakwa Penolong Setiausaha MOM, Datuk Sieh Kok Chi sehari sebelum itu yang menyuarakan kebimbangan mengenai kelewatan dalam proses penyuntingan buku berkenaan selepas menerima aduan daripada beberapa negara bertanding.

Bagaimanapun apabila tiba tarikh 18 Februari, buku panduan teknikal itu masih gagal disiapkan untuk diedarkan dan Zolkples sekali lagi memberi jaminan, pihaknya akan memastikannya siap pada penghujung bulan Februari.

Namun buku itu masih gagal disiapkan selain tidak langsung kendengaran apa-apa perkembangan mengenainya walaupun sudah berakhir bulan Mac. Bulan ini isu kelewatan menyiapkan buku panduan teknikal ini ditimbulkan kembali kepada beliau memandangkan terdapat rungutan daripada negara-negara yang bertanding yang mula kecewa kerana masih belum menerimanya ketika tinggal hanya empat bulan sebelum bermulanya temasya ke-29 itu.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah penganjuran Sukan SEA, buku panduan teknikal dihantar untuk mendapatkan kelulusan IF sedangkan sebelum ini tidak pernah dilakukan oleh negara-negara penganjur termasuk yang terbaharu di Singapura pada 2015.