Bilangan regu yang menyertai kejohanan kali ini juga bertambah berbanding tahun lalu apabila 334 mengesahkan penyertaan berbanding hanya 274 tahun lalu.

Lebih menarik tindakan PSM langsung tidak menghalang pasukan dari seluruh negara datang mengambil bahagian tidak kira negeri di sebelah Utara, Tengah dan Selatan Semenanjung tetapi juga negeri-negeri di sebelah Pantai Timur.

Daripada senarai yang mendaftar pada hari pembukaan hari ini, 58 regu adalah untuk kategori bawah 12 tahun, 58 regu untuk kategori bawah 14 tahun dan 61 regu bagi kategori bawah 16 tahun.

Menurut Pengurus Pengurusan Jenama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Hazura Ahmad Halil, apa yang menarik, tiada satu pun regu yang mendaftar awal sebelum ini menarik diri walaupun mengetahui PSM menarik balik pengiktirafan dan KFC menarik balik penajaan pada saat akhir.

“Sambutan yang diterima lebih baik daripada tahun lalu dan kemeriahannya juga tidak berkurang apabila tiada satu pun regu menarik diri pada saat akhir.

“Berikutan tindakan PSM terhadap kejohanan ini, pihak penganjur telah membenarkan pasukan peserta untuk mengubah senarai pemain mereka kerana kebanyakannya terlalu ghairah untuk memperkuatkan gandingan masing-masing dan menang kali ini,” katanya.

Esok pertandingan bagi kategori Terbuka, Veteran dan Bakat Baharu pula akan membuka gelanggang untuk bersaing di peringkat kalah mati.
Kehangatan dijangka meningkat pada hari Sabtu apabila peringkat suku akhir dan separuh akhir berlangsung bagi kesemua enam kategori yang dipertandingkan.

Perlawanan akhir pada hari Ahad pula akan berpindah ke kompleks beli-belah Quill City Mall di Kuala Lumpur, yang turut menjadi venue tahun lalu.