Peningkatan hadiah kemenangan itu sekali gus menjadikannya sebagai kejohanan yang menawarkan habuan paling tinggi dalam sukan tenis.

Persatuan Tenis AS (USTA), dalam satu kenyataan berkata, hadiah yang ditawarkan pada kali ini ditambah sebanyak AS$4 juta (RM17.1 juta), menjadikan jumlah keseluruhan RM 214.3 juta.

Pemenang kategori perseorangan lelaki dan wanita akan meraih AS$3.7 juta (RM15.8 juta), manakala hadiah tunai untuk setiap pusingan juga meningkat dengan purata 7.5 peratus berbanding edisi 2016.

Juara beregu lelaki dan wanita akan membawa pulang AS$675,000 (RM3.2 juta) dan ganjaran untuk peringkat kelayakan meningkat kepada AS$2.9 juta (RM12.4 juta) ditambah 49.2 peratus berbanding tahun lalu.

“Lima tahun lalu, kami sudah memberi komitmen jumlah ganjaran kepada pemain akan mencecah AS$50 juta di Terbuka AS dan hari ini, kami menunaikan janji itu.

“Selain menambah jumlah wang hadiah yang belum pernah terjadi sebelumnya, pemain juga akan melihat pelbagai kemudahan baharu pada kejohanan tahun ini termasuk peningkatan lebih banyak pilihan makanan, elaun makan yang lebih murah, peningkatan ke semua kemudahan latihan pemain, dan ruang bilik tambahan yang tenang,” kata Pengerusi USTA, Katrina Adams dalam satu kenyataan.

Kejohanan Terbuka AS dijadualkan pada 28 Ogos sehingga 10 September ini di Billie Jean King National Tennis Center, Flushing Meadows, New York. - AFP