QSR Stores Sdn. Bhd. sekali lagi menjadi penaja utama kejohanan melalui produknya, KFC dan terus memberikan komitmen selepas kejayaan tujuh penganjuran yang lalu.

Kewujudan pelbagai bentuk permainan aplikasi dikhuatiri dapat menenggelamkan sukan-sukan tradisi dalam kalangan anak-anak remaja masa kini.

Oleh itu penganjuran kejohanan ini diteruskan bagi membantu meningkatkan kesedaran dan memartabatkan sukan tradisi sepak takraw di persada global.

Ia juga diharap dapat melahirkan pelapis baharu yang berpotensi bagi meningkatkan mutu sukan sepak takraw negara sekaligus menggalakkan belia terlibat dalam sukan dan mewujudkan aktiviti sihat dalam kalangan belia.

Majlis Pelancaran Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2017 yang dijadual berlangsung pada 27 Ogos ini, pukul 2 petang di L1 Pintu Masuk V Boulevard, Sunway Velocity Mall, Cheras, Kuala Lumpur, telah ditunda dan bertukar lokasi.

Tarikh terkini pelancaran adalah pada 28 September ini pada pukul 11 pagi bertempat di Kompleks Sukan Negeri, Paroi, Negeri Sembilan.

Kejohanan bagi peringkat awal juga akan bermula 28 – 30 September ini dan sebanyak 200 regu dijangka bertarung di peringkat awal dalam pertandingan kalah mati untuk melayakkan diri ke peringkat akhir.

Berita baik buat semua pembaca akhbar Utusan Malaysia, anda berpeluang untuk menyertai peraduan cabutan Bonanza yang diadakan bersempena dengan kejohanan kali ini.

Peraduan ini hanya memerlukan pembaca mengisi borang peraduan beserta empat keratan kepala akhbar Utusan Malaysia mengikut tarikh yang ditetapkan.

Berdasarkan mekanisme ringkas dan mudah ini diharapkan menerima penyertaan yang menggalakkan daripada pembaca setia dan pembaca baharu Utusan Malaysia.