Kategori Terbuka dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menawarkan hadiah termahal berjumlah RM30,000 didahului oleh regu GBOI yang mendaftar penyertaan terawal iaitu pada 13 Ogos lalu manakala Pestans menjadi peserta terbanyak setakat ini dengan diwakili empat regu.

Lain-lain termasuk tiga regu Warisan AZ, dua regu PPTSB, MAA Takaful Seremban dan Awan Merah manakala 14 regu sudah bersedia untuk berentap dalam kategori Belia (Bawah 16 Tahun), yang menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM16,200 untuk direbut lapan pasukan terbaik.

Mereka ialah dua regu SMK Seksyen 11 yang mendaftar penyertaan 9 Ogos lalu sementara tiga regu Warisan MI 16 menjadikan mereka peserta terbesar setakat ini selain disaingi Putera Larut dan Pestans (masing-masing dua), SMK Gunung Rapat, SMK Gading B16, SSN KL dan STAD.

SMK Seksyen 11 juga menunjukkan komitmen tinggi dengan menghantar lima regu untuk kategori Remaja (Bawah 14 Tahun) disusuli empat regu masing-masing dari Warisan MI dan SMK Gunung Rapat di samping Pestans dan PLD STAD (dua), SMK Bukit Gading dan MAA Takaful Seremban B16.

Pestans memegang rekod peserta terbesar kategori Bawah 12 Tahun (Muda) dengan mengirim empat regunya diikuti tiga regu, masing-masing dari SK Pahit dan SK Pengkalan Pegoh selain satu regu SK Jeram, SK Menggong dan SK Sempang yang sudah mendaftar seawal 8 Ogos lalu.

Penganjur menetapkan sasaran penyertaan 100 regu untuk Terbuka-IPT, 48 regu Belia dan masing-masing 32 regu Remaja dan Muda namun terdapat syarat dan had tertentu yang dikenakan kepada status pemain tertentu untuk menggalakkan persaingan yang adil, lebih sengit dan berdaya maju.

Hanya seorang pemain negeri atau negara yang pernah atau masih beraksi dalam Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari dan Grand Prix Kebangsaan Perilly’s, dibenarkan bermain dalam sesebuah regu kategori Terbuka kecuali yang berusia bawah 18 tahun dan 40 tahun ke atas.

Had hanya sebuah regu yang boleh dihantar untuk kategori Belia dan Remaja juga dikenakan kepada Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail dan Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pemain mereka yang berlebihan dibenarkan untuk mewakili sekolah sukan negeri asal masing-masing.

Sistem kiraan 15 mata terbaik daripada tiga set akan digunakan dalam kejohanan edisi kelima ini, yang menggunakan format kalah singkir, biarpun penganjur akan turut merujuk kepada undang-undang permainan sepak takraw terkini Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) jika perlu.