Selepas memasuki edisi kelapan yang berakhir semalam, kejohanan itu memberi impak positif dalam pembangunan sukan tradisi tersebut, dan adalah sangat merugikan jika usaha murni Utusan Malaysia untuk membantu sepak takraw terbantut hanya kerana isu PSM.

Bekas Timbalan Presiden PSM, Mohd. Shapian Ali berkata, Kejohanan Sepak Takraw Utusan mendapat sambutan luar biasa dan amat dinantikan peminat tegar sepak takraw apabila berjaya menghimpunkan pemain berkua­liti dari seluruh negeri selain menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu.

“Bagus apabila ada syarikat swasta yang ingin menganjurkan kejohanan seperti ini kerana ia dapat meningkatkan lagi sema­ngat serta mempromosikan sepak takraw kepada masyarakat.

“Apabila Utusan Malaysia mengadakan kategori mengikut pecahan umur, itu tindakan amat positif kerana semua lapisan umur boleh main seperti Bawah 12 (B-12), Bawah 14 (B-14) dan Bawah 16 (B-16). Jadi, mereka boleh menyertai kejohanan ini pada setiap tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shapian yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) berharap le­bih banyak syarikat swasta tampil memberi sokongan dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan sepak takraw.

“Sekiranya tiada kejohanan se­perti ini macam mana kita nak ada platform untuk bertanding.

“Jadikan kejohanan seperti ini sebagai aktiviti tahunan kerana semua pemain menantikannya.

“Kejohanan ini juga medium terbaik untuk mencungkil bakat baharu,” ujarnya.

Sementara itu, jurulatih Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT A), Mohd. Futra Abd Rahman menyokong sepenuhnya agar Kejohanan Sepak Takraw Utusan diteruskan, malah turut menyifatkannya sebagai kejohanan bertaraf lima bintang.

“Hadiah yang ditawarkan lumayan jadi pemain yang me­nyertainya adalah berkualiti ke­rana kebanyakan­nya membuat perancangan rapi setahun awal.

“Saya berharap kejohanan seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang,” kata Futra.

PSM melalui surat yang ditandatangani oleh Setiausahanya, Datuk Radzuan Abdullah, bukan sahaja mengumumkan penarikan balik kebenaran kejohanan itu bahkan menggesa digugurkan perkataan kejohanan sepak takraw yang dianggapnya tidak layak digunakan.

Ugutan PSM mengenakan tindakan tatatertib itu turut cuba dikenakan bukan sahaja ke atas pemain negara, malah terhadap pemain bawah umur dan jurulatih peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) yang begitu menanti-nantikan kejohanan tahunan ini.

Namun yang menghairankan ialah PSM tidak langsung menjelaskan di bawah fasal mana undang-undang atau perlembagaan mereka yang membolehkan penarikan balik kebenaran itu dibuat apatah lagi terhadap pe­nganjur yang bukan ahli gabu­ngan mereka.

Ugutan tindakan tatatertib terhadap pemain, jurulatih dan pengadil berstatus tertentu yang tetap menyertai kejohanan ini juga tidak dijelaskan dalam surat penarikan balik itu seperti yang mungkin termaktub menurut fasal undang-undang PSM terkini.