Kejohanan yang semakin berprestij itu bakal berlangsung dalam suasana lebih meriah sempena Tahun Melawat Terengganu 2017 dengan turut dipenuhi dengan pelbagai acara sampingan di pekarangan Kompleks Sukan negeri.

Ketua sekretariat kejohanan, Kapten Amar Abd Aziz berkata, kegiatan sukan ekstrem itu akan turut disertai oleh 40 anggota dari kelab penerjun termasuk dari Bahrain, China dan Indonesia selain penyertaan anggota TM.


Pertandingan selama sembilan hari itu dianjurkan oleh Malaysian Armed Forces Parachute Association (MAFPA) dan Malaysian Parachute Association (MyPA) dengan kerjasama kerajaan negeri.


“Mereka akan bersaing dalam empat kategori iaitu Accuracy Sport, Accuracy Military, Formation Skydiving dan Canopy Formation Skydiving,” ujarnya di sini semalam.


Menurut beliau, Terengganu sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah kerana mempunyai lokasi-lokasi sesuai untuk terjunan (drop zones) dengan latar alam dan kemudahan yang sedia ada.


“Penganjuran kejohanan seperti ini mampu memberi pendedahan kepada umum, dan menarik minat orang muda menyertai sukan lasak 
dan mencabar,” ujarnya.


Tambahnya, sepanjang kejohanan akan turut diadakan demonstrasi ketenteraan, pameran aset dan kerjaya Tentera Darat di samping
sesi pengambilan perajurit Muda Tentera Udara di samping karnival jualan produk usahawan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan.UTUSAN ONLINE