Dengan berlangsung tanpa sebarang masalah, kejohanan ini malah lebih besar berbanding tujuh edisi sebelumnya, walaupun turut berdepan cabaran besar berikutan penarikan diri KFC selaku penaja utama juga pada saat akhir akibat tindakan PSM.

Dengan tiada satupun regu atau pasukan yang menarik diri, membuktikan keikhlasan Utusan untuk menyemarakkan pembangunan sepak takraw negara mengatasi niat PSM yang seolah-olah cuba memadamkan semangat penganjur kejohanan.

PSM, dalam suratnya dilihat cuba mengugut untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pemain, jurulatih, dan pengadil daripada kalangan negeri ahli gabungannya mahupun peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) sekiranya mereka masih menyertai kejohanan anjuran Utusan ini.

Yang memberi tamparan hebat kepada PSM apabila Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri tidak termakan ugutan PSM itu malah memberi restu kepada sekolah sukan, pusat latihan negeri (PLN) dan pusat latihan daerah (PLD) untuk menyertainya termasuk memberi pelepasan dan menyediakan pengangkutan percuma untuk pelajar sekolah yang terbabit dengan kejohanan ini.

Ternyata hasilnya amat bermakna sekali apabila pemain-pemain kategori bawah 12, 14 dan 16 tahun beraksi dengan begitu bersemangat untuk menunjukkan bahawa mereka dahagakan kejohanan berbentuk karnival seperti yang dianjurkan Utusan ini tidak kira menggunakan mata 15 ataupun 21.

Ini menyaksikan pertarungan membabitkan regu sekolah kali ini amat sengit sekali dengan akhirnya PLN Kelantan muncul juara kategori Bawah 12 tahun selepas dua regunya bertemu sesama sendiri dalam perlawanan akhir. Dalam perlawanan akhir hari ini, PLN Kelantan B menewaskan PLN Kelantan A 21-14, 21-16.

Kategori Bawah 14 tahun pula diungguli Sekolah Sukan Negeri (SSN) Melaka yang menewaskan Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor Bahru 19-21, 25-23, 21-17 untuk muncul juara buat kali ketiga berturut-turut.

Juara kategori Bawah 16 tahun menjadi milik Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Terengganu yang menewaskan Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSS) Pulau Pinang 21-17, 21-18.

Bagi kategori bukan pelajar sekolah, iaitu kategori Bakat Baharu dan kategori Terbuka, sambutannya amat mengejutkan kerana ada pemain pelapis negeri dan pemain kebangsaan sanggup mengambil risiko digantung semata-mata untuk menyertai kejohanan anjuran Utusan ini.

Kategori Veteran pula, yang diwujudkan kali pertama tahun ini atas permintaan, menyaksikan bekas-bekas pemain kebangsaan turut menyertainya untuk melepaskan ‘gian’ beraksi dalam pertandingan besar.

Dalam kategori Bakat Baharu, pasukan Innate Synergy Takraw Club (iSTC) dari negeri Presiden PSM, Pulau Pinang muncul juara dengan menewaskan regu Awan Merah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 21-13, 21-10.

Kategori paling elit dalam kejohanan ini iaitu Terbuka pula dimenangi regu Gabungan Sepak Takraw Teluk Paku (Gastep) dari Terengganu yang menewaskan giant killer kejohanan kali ini iaitu Putera Darat ATM dengan 21-11, 18-21, 21-4.

Semua hadiah kemenangan wang tunai dan trofi kepada pemenang hari ini disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak.