Walaupun hanya menyumbang satu emas dalam kategori lelaki dan satu gangsa dalam kategori wanita, lima faktor wajib diambil kira untuk membezakan kejayaan dua skuad ragbi tujuh sebelah dengan sukan-sukan yang lebih menonjol kali ini.

Bersetuju atau tidak, kejayaan skuad ragbi negara ini dicipta menerusi sumbangan tenaga seratus peratus anak tempatan - daripada pengurus, jurulatih sehinggalah kepada barisan pemain yang memikul tanggungjawab untuk mengharumkan nama negara.

Berbeza dengan Singapura dan juara bertahan Filipina yang menggunakan khidmat pemain asing, skuad negara pula mempertaruhkan 12 pemain tempatan yang digandingkan bersama sejak setahun yang lalu.

Pemain yang dimaksudkan adalah Zulkiflee Azmi, Muhammad Siddiq Amir Jalil, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi, Mohamad Nur Azri Azmi, Wan Izzudin Ismail, Muhammad Dzafran Asyraaf Muhammad Zainudin, Mohamad Safwan Abdullah, Nik Mohd. Shahiddan Mohd. Zain, Muhammad Firdaus Tarmizi, Muhammad Ameer Nasrun Zulkifli, Mohamad Khairul Abdillah Ramli dan Muhammad Zulhisham Rasli.

Fakta kedua yang perlu diketahui ialah skuad lelaki bimbingan Mohd. Saizul Hafifi Md. Noor ini berjaya mencipta sejarah meraih pingat emas pertama dalam sejarah Sukan SEA.

Dua tahun lalu dalam temasya di Singapura, skuad negara tumpas kepada Filipina dalam perlawanan akhir namun kali ini mereka menebus kegagalan itu dengan menewaskan juara bertahan di peringkat liga dan meneruskan kehebatan mereka dengan menewaskan Singapura 22-7 dalam final.

Ketiganya, seperti kata pengurus pasukan, Amir Amri Mohamad: “Ini adalah emas bonus buat kontinjen negara ketika Majlis Sukan Negara hanya berani meletakkan sasaran pingat perak sahaja.

“Pingat emas yang mereka raih tiba-tiba menjadi cukup bermakna apabila skuad ragbi lelaki menang dengan cara cukup dramatik dalam perlawanan akhir.”

Keempatnya, kejayaan meraih emas buat kali pertama itu turut disaksikan sendiri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Sri Rosmah Mansor sepenuhnya selain Perdana Menteri turun ke padang memberikan hadiah yang cukup bermakna itu di Stadium Petaling Jaya pada 20 Ogos lalu.

Kelimanya, skuad wanita di bawah bimbingan Nik Safuan Ismade Nik Man juga mencatat sejarah tersendiri kerana buat kali pertama berjaya meraih pingat yang tidak pernah mampu mereka capai selama ini.

Dalam perlawanan penentuan pemenang gangsa, skuad wanita yang dibarisi Christina Idris, Cindy John Pasan, Dayang anak Manggie, Euphrasia Anne Cralis, Fidelia Liman anak Telajan, Henrietta David, Norfarahana Aziz, Normasyirah Zahari, Rozliana Mohd. Ridwan, Siti Farhanita Maddin, Wan Zufirah Mohd. Nasir dan Sharifah Noor Fasha Edayu Syed Mohammad Fauzie menewaskan Filipina 7-5.