Setiausaha Agung Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Datuk Low Beng Choo berkata, pihaknya kini dalam proses pengambilan balik pingat daripada tiga atlet terbabit, sebelum menyerahkannya kepada pemenang yang berada di kedudukan seterusnya.

Tiga atlet tersebut ialah penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee yang meraih emas acara 3m papan anjal individu dan 3m papan anjal seirama (bersama Nur Dhabitah Sabri), serta dua atlet Thailand, pemenang pingat emas acara seni berpasukan wanita (pencak silat) Nurisan Loseng dan pemenang pingat perak 10km renang perairan terbuka wanita dan 4x200m gaya bebas wanita, Benjaporn Sriphanomthorn.

Ketiga-tiga atlet didapati positif dengan bahan terlarang, sibutramine oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) di makmalnya di New Delhi, India pada 11 Oktober lepas.

Low yang juga Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), turut mengesahkan bahawa kedua-dua pingat emas milik Wendy, termasuk bagi acara seirama akan ditarik balik mengikut peraturan SEAGF.

"Walaupun ia acara seirama, ia bukan dianggap sebagai acara berpasukan kerana atlet itu tidak boleh digantikan oleh mana-mana atlet lain seperti dalam acara bola sepak atau hoki.

“Kedua-dua penerjun mesti ada bersama-sama ketika acara, jadi perkara ini telah dipersetujui oleh semua anggota SEAGF," katanya kepada pemberita selepas jamuan media MOM di Kelab Diraja Selangor di sini, hari ini.

Ditanya mengenai hukuman yang bakal dikenakan kepada Wendy, beliau berkata SEAGF hanya mempunyai kuasa untuk menarik pingat, tetapi kuasa untuk menentukan hukuman terletak pada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) dan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).- BERNAMA