Ridzuan, 31, atau lebih mesra dengan penggilan Dikwan menerima anugerah tersebut pada majlis Anugerah Asia 2018 dan Makan Malam yang berlangsung di Dubai, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Anugerah disampaikan Pre­siden Majlis Paralimpik Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohamed Alhameli dan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia, Majid Rashed.

Atlet kelahiran Padang Besar, Perlis itu memenangi pingat emas Sukan Para Asia di Jakarta tahun lalu dengan memecah rekod dunia acara 100 meter T36 (cerebral palsy), selain mencipta rekod Asia dalam saingan lompat jauh. Pada temasya tersebut, Dikwan berjaya membawa pulang tiga pingat emas.

“Saya rasa amat gembira menerima anugerah ini. Saya berterima kasih kepada Jawatankuasa Paralimpik Asia kerana memberi pengiktirafan ini kepada saya,

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa memberi sokongan.

“Tidak lupa juga kepada Majlis Sukan Negara, R. Jeganathan (jurulatih olahraga para negara) dan Majlis Paralimpik Malaysia kerana banyak membantu dalam karier saya sebagai seorang atlet,” kata Dikwan ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.