Kesakitan menjadi musuh utama jaguh No. 1 dunia dari Sepa­nyol itu ketika menentang pemain Belgium, David Goffin, namun dia tetap menghabiskan perlawanan sebelum tewas 6-7, 7-6, 4-6 pada aksi pembukaan peringkat kumpulan.

Beberapa minit selepas itu, pemain berusia 31 tersebut mengumumkan penarikan diri daripada kejohanan yang menghimpunkan lapan bintang tenis lelaki terbaik dunia sepanjang 2017 kerana tidak mampu menanggung kesakitan.

“Saya tidak boleh beraksi lagi dan cabaran saya tahun ini sudah berakhir.

“Saya hanya mahu melengkapkan komitmen yang telah saya janjikan kepada penganjur, bandar ini dan diri saya sendiri.

“Saya tetap mencuba dengan melakukan perkara yang patut tetapi jelas saya tidak mampu meneruskannya. Ia tentang kesakitan yang terpaksa saya tanggung,” kata Nadal.

Bagaimanapun tegas Nadal, dia akan bekerja keras untuk sembuh secepat mungkin dan menyiapkan diri bagi menghadapi musim 2018, bermula dengan kejohanan Grand Slam Terbuka Australia pada 15-28 Januari.

"Saya tahu apa yang perlu saya lakukan. Saya tahu apa yang akan berlaku setiap kali saya menghadapi kecederaan seperti ini.

“Saya tahu rawatan yang perlu saya lakukan dan masa yang diperlukan untuk pulih.

“Sama ada rawatan itu berkesan atau tidak, kita lihat sahaja nanti," tegasnya yang pernah di­timpa kecederaan serius yang sama sebelum ini. – AFP