Ini adalah kali kedua berturut-turut juara Wimbledon itu terpaksa menarik diri selepas mengalami kekejangan kaki ketika sedang menentang Bertens dalam aksi pembukaan Antarabangsa Brisbane, minggu lalu.

Pemain No. 3 dunia dari Sepanyol itu memerlukan rawatan di game ketiga, sebelum menarik diri beberapa jam selepas kemenangannya.

“Saya sangat kecewa tetapi selepas berbincang dengan doktor WTA (Persatuan Tenis Wanita) dan pasukan, menarik diri adalah keputusan terbaik untuk saya.

“Saya rasa sakit di bahagian kanan perut sejak memulakan latihan di sini. Semalam saya rasa ia semakin baik, jadi saya fikir saya boleh teruskan permainan.

“Begitupun ketika beraksi, sakit itu datang semula tetapi saya tetap mahu menghabiskan permainan,” kata Muguruza yang perlu berhati-hati menje­lang Terbuka Australia, minggu depan.

Sementara itu, bekas pemain No. 1 dunia, Angelique Kerber dari Jerman meraih keputusan positif menjelang Terbuka Australia apabila menumpaskan pilihan kedua, Venus Williams dari Amerika Syarikat (AS) 5-7, 6-3, 6-1.

Juara Grand Slam dua kali itu belum ditewaskan dalam enam perlawanan tahun ini dan bakal berdepan Dominika Cibulkova dari Slovakia di suku akhir esok.

Turut meneruskan cabaran juara 2013, Agnieszka Radwanska dari Poland yang menyingkirkan pemain remaja AS, CiCi Bellis 7-6 (6/4), 6-0.

Menanti Radwanska di suku akhir ialah juara Wimbledon dua kali, Petra Kvitova dari Republik Czech yang mara selepas menumpaskan pemain Itali, Camila Giorgi 7-6 (9/7), 6-2. – AGENSI