Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sistem tersebut akan dibahagian kepada empat peringkat dengan pertama diberikan tumpuan kepada atlet yang berpotensi memenagi pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020, diikuti Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2022; Sukan SEA 2019 dan 2021; serta terakhir kejohanan bukan temasya.

“Kita akan ikut sistem empat peringkat ini dan cara kita buat pemilihan atlet berdasarkan prestasi semasa mereka.

“Atlet yang berpotensi menang pingat di Olimpik akan terus berada dalam peringkat pertama dan dalam masa sama kita ada polisi revolving door.

“Contohnya, sukan karate mungkin sekarang tiada potensi untuk menang pingat di Tokyo 2020 berdasarkan prestasi semasa. Jadi mereka tidak dimasukkan ke dalam peringkat pertama.

“Bagaimanapun jika ada penambahbaikan ketara selepas itu, polisi ini akan membenarkan mereka menyertai peringkat pertama,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan dan Arahan Berprestasi Tinggi di Menara KBS di sini hari ini.

Penstrukturan semula itu dibuat susulan daripada rumusan Bengkel Post Mortem yang diadakan pada 13-14 September lalu, dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) diarahkan untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap program latihan atlet melibatkan Program Podium dan Kita Juara.

Pada 4 September lalu, KBS mengumumkan akan membuat kajian semula terhadap keberkesanan Program Podium berikutan kegagalan negara menempatkan diri dalam kalangan 10 negara terbaik pada temasya Sukan Komanwel Gold Cost dan Sukan Asia Jakarta/Palembang.

Perkara berkenaan perlu dilakukan bagi menambah baik program sedia ada sebagai persediaan segera untuk menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berbaki 22 bulan lagi.

Dalam masa sama, Syed Saddiq berkata, Program Podium itu akan diletakkan di bawah pengurusan MSN, dengan ISN diberi tanggung jawab menyediakan perkhidmatan sains dan perubatan sukan kepasa program latihan yang bakal dilaksanakan pada Januari 2019 nanti.