Kaskas atau biji popi digunakan sebagai rempah untuk mem­be­rikan rasa yang unik kepada gulai, terutama oleh pengusaha nasi kandar yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Penggunaannya, walaupun ke­tika ini tidak menya­lahi undang-undang, tetapi kaskas ber­asal da­ri pokok popi yang getah bunganya diproses untuk dijadikan dadah seperti candu dan morfin.

Pakar Rujuk Perubatan Kanan Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz berkata, bu­at masa sekarang belum ada ma­na-mana atlet yang didapati positif doping akibat daripada pengambilan makanan tersebut namun langkah berjaga-jaga perlu diambil.

Katanya, atlet yang tinggal di asrama Majlis Sukan Negara (MSN) tidak berdepan sebarang masalah kerana diet harian dikawal rapi namun dibimbangi makanan yang diambil sewaktu mereka berada di luar kerana tidak dapat dipastikan kandungan sebenar yang ada di dalamnya.

“Pengambilan bahan ini boleh menyebabkan ujian antidoping menghasilkan keputusan positif morfin dan kebarangkalian itu sangat tinggi.

“Kami bimbang perkara ini boleh berlaku ke atas mana-mana atlet kerana makanan seperti ini boleh diambil secara tidak sengaja, tetapi berdasarkan prisip antidoping sekiranya bahan itu ada di dalam sistem badan maka atlet itu perlu bertanggungjawab.

“Atlet juga dinasihatkan tidak mengambil sebarang jenis minuman pracampuran kerana dibimbangi kandungan di dalamnya akan memberi kesan terhadap ujian antidoping. Jadi jangan ambil risiko, banyak lagi minuman lebih berkhasiat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini mela­porkan terdapat beberapa premis di sekitar ibu kota menjual kek yang mengandungi biji popi secara terbuka.

Pengambilan biji popi secara berlebihan boleh mendatangkan kesan khayal dan ketagihan.

Sementara itu, Pengerusi Ja­watankuasa Perubatan Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Suruhanjaya Perubatan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Tan Sri Dr. M. Jegathesan menggesa Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) untuk menjalankan kajian terperinci mengenai pengambilan kaskas atau biji popi dalam kalangan atlet.

Beliau turut menyuarakan kebimbangannya terhadap perkara itu kerana tidak dapat dipastikan sama ada perkara itu mampu memberi kesan terhadap atlet atau sebaliknya memandangkan masih belum ada sebarang ujian dilakukan ke atas kaskas.

“Tidak dapat dipastikan sama ada kaskas memberi kesan atau tidak kerana sehingga kni masih belum ada sebarang kes dilapor­kan mengenai pengambilan bahan-bahan ini,” katanya.

Risiko mengambil kaskas