Jurulatih negara, Paul Birmingham berkata, kualiti skuad renang negara langsung tidak terjejas dan malah hanya mengambil sikap ‘memejamkan mata’ mengenai perkara tersebut.

Katanya, Schooling tidak menjadi topik perbualan di dalam kem renang Malaysia dan fokus hanya diberikan kepada persiapan demi memberi persembahan terbaik pada hari pertandingan.

“Saya sendiri tidak mengikuti apakah isu yang membabitkan perenang Singapura itu. Tetapi apa yang pasti tiada yang bercakap mengenainya dan Schooling tidak menjadi bahan perbualan kami,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Reputasi Schooling selaku pemegang pingat emas Olimpik Rio 2016 bakal mewarnai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan bermula minggu depan.

Singapura merupakan juara keseluruhan acara renang pada Sukan SEA 2015 yang berlangsung di negara itu dengan memborong 23 emas daripada 38 pingat itu yang ditawarkan, dengan Schooling menjadi watak penting membantu negaranya.

Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta rakyat Malaysia tidak mengejek perenang Singapura itu apabila bertanding di KL2017 terutama bagi mengelak perkara yang boleh merosakkan imej negara sebagai tuan rumah kejohanan.

Dalam pada itu, Birmingham berkata, moral para perenang negara berada dalam keadaan terbaik dengan tumpuan sepenuhnya terarah kepada temasya.

Paling penting katanya, adalah untuk mengekalkan momentum prestasi dan mengekalkan tahap kesihatan baik dari segi fizikal dan mental.

“Terdapat beberapa atlet yang masih tidak sihat sepenuhnya, dan hal itu lebih merisaukan saya. Oleh itu, pasukan cuba memastikan mereka kembali pulih menjelang hari pertandingan dan tidak mahu memberi tekanan kepada mereka,” katanya.