Hari ini, nasib malang me­nimpa pesilat pelapis negara Zarish Hakim Shukor selepas dia ditendang di bahagian dagu oleh pesilat Indonesia, Hanifah Yudani Kusumah dalam saingan Kelas Putra C sehingga menyebabkannya rebah lalu pengsan.

Menjelaskan insiden tersebut, ketua jurulatih kebangsaan Nasri Nasir memberitahu, pegawai per­ubatan bagaimanapun mengatakan kepada ketua wasit bahawa Zarish masih boleh meneruskan perlawanan sedangkan dia tidak sedarkan diri.

Tambahnya, susulan pengesahan pegawai perubatan itu, ketua wasit terus membuat kiraan 10, sekali gus menyaksikan Zarish di­sahkan kalah selepas gagal ba­ngun dalam tempoh berkenaan.

“Kalau nak menang sekali pun, ikutlah peraturan. Ini kali kedua berlaku selepas yang pertama terjadi kepada Badrirullah Rahmat (Kelas Putra I) semalam. Tapi kita tak kecoh-kecoh sangat.

“Cuma yang kedua ini, kalau berdasarkan peraturan, memang kita menang sebab Indonesia sudah melakukan pelanggaran yang berat (memukul di bahagian kepala) dan telah dihukum.

“Kecewalah (dengan insiden berat sebelah ini), saya lihat sendiri dia tak boleh bangun, dia pengsan. Saya tak tahu macam mana pegawai perubatan mengesahkan kepada ketua wasit mengatakan yang dia boleh terus berlawan. Saya pun tak faham macam mana ini boleh berlaku,” katanya kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu, tambah Nasri, yang juga Jurulatih Kebangsaan Terbaik 2015, dia mengharapkan agar pihak sekretariat selepas ini lebih peka dalam memastikan kejohanan edisi ke-17 tersebut berlangsung dengan lebih adil.

“Kita tak nak apa-apa kelebihan pun, kita cuma mahukan keadilan. Kalau bertanding, mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Ini tidak, kalau nak menang pun kena ikut peraturan. Kalau tidak, buat apa wujudkan peraturan? Ini jelas tiada semangat kesukanan,” katanya. – UTUSAN