NORDIN SABARUDIN berpelukan dengan Shaari Hashim (kiri) dan Rosli Ab. Rahman (kanan) selepas memenangi pingat emas acara antara regu.

Hotel penginapan di Singapura yang berhabuk sehingga mengakibatkan separuh anggota pasukan demam menjadi punca mereka gagal memberikan tentangan terbaik terhadap Thailand yang diketuai tekong veteran Pakdee Dangwattanapaibul dalam liga berpasukan.

Namun gandingan Nordin Sabarudin (tekong), Shaari Hashim (perejam) dan Rosli Ab. Rahman (pengumpan) bangkit membenam Pakdee, Kriengkrai Mutalai dan Ittipol Komchaisak 15-5, 15-9 dalam separuh akhir acara antara regu.

Mereka kemudiannya diberikan tentangan sengit regu tuan rumah, Nurhisham Adam, Rafi Abdul Majid dan Padzli Othman selama sejam setengah sebelum berjaya mempertahankan emas dengan kemenangan 15-12, 18-16 di Dewan Badminton Singapura.

Terdahulu dalam saingan peringkat awal, tuan rumah mengejutkan Malaysia 2-0 namun membenam Filipina dan Laos 2-0 untuk mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B menentang Thailand, juara Kumpulan A yang mengatasi Indonesia, Brunei dan Myanmar.

Dalam saingan berpasukan liga sepusingan, Malaysia menewaskan Brunei, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Singapura 3-0.

Lain-lain pemain Malaysia yang membawa pulang perak berpasukan ialah Baharum Jahar, Iskandar Arshad, Noor Rani Adnan, Mohd. Noor Abdullah, Baharudin Bahaudin, Engku Halim Ku Musa, Suhaimi Yusof, Mohd. Noor Sulaiman dan Raziman Hassan.