KHAIRY JAMALUDDIN

Satu Jawatankuasa Bertindak Khas (task force) juga akan ditubuhkan bagi mengkaji isu-isu gangguan seksual dan psikologi atlet melibatkan sukan berprestasi tinggi, yang diketuai oleh Chef de Mission Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA Ke-29 (KL2017), Datuk Marina Chin.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan akhbar hari ini turut memberitahu, Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menjalankan siasatan dalaman terhadap jurulatih tersebut dan mengharapkan siasatan yang adil dapat dilaksanakan.

“Saya merujuk kepada kes dakwaan rogol di mana satu laporan polis telah dibuat pada 1 Oktober 2017 (Ahad) yang lalu melibatkan seorang atlet dan seorang jurulatih terjun.

“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan kes rogol berkenaan dan saya telah mengarahkan semua agensi-agensi di bawah kementerian ini untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis untuk memastikan siasatan berjalan dengan lancar.

“Jurulatih tersebut juga akan digantung tugas sehingga siasatan polis dan siasatan dalaman selesai sepenuhnya,” kata Khairy dalam satu kenyataan rasmi di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE