Katanya, ‘Pac Man’ akan me­nunjukkan sesuatu yang berbeza di Arena Axiata, Bukit Jalil sekalipun lawannya dari Argentina itu pernah melaungkan dia mahu mendapatkan kemenangan menerusi tumbangan (KO).

“Saya tidak tahu pusingan berapa akan berakhir tetapi rasanya lebih awal (daripada 12 pusi­ngan),” katanya tanpa bermaksud memperkecilkan kemampuan lawan yang gemar bertarung secara rapat dan memiliki tubuh lebih berat.

“Kami sudah buat rejim latihan yang terpanjang kali ini berbanding dengan semua pertarungan lalu. Saya tahu Matthysse bukan lawan yang mudah. Dia pernah cakap mahu menang KO tetapi Pacquiao akan tunjukkan aksi yang berbeza.

“(Ahad ini) hari besar baginya dan dia cukup teruja dengan­nya,” katanya di hotel penginapan mereka selepas mengiringi bekas juara dunia dalam lapan kelas berat berbeza dari Filipina itu pulang daripada sesi latihan pagi di sini hari ini.

Pacquiao, 40, dengan rekod 59 kemenangan (38 tumbangan - KO, tujuh kekalahan dan dua seri) kembali bertinju sejak kehilangan gelaran welterweight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) kepada Jeff Horn tahun lalu.

Pertarungan de­ngan Matthysse, 36, atau digelar ‘La Maquina’ (Si Mesin) ini merupakan yang pertama di Malaysia sejak kali terakhir Allahyarham Muhammad Ali menentang Joe Bugner di Stadium Merdeka pada 1975.

Pacquiao turut menganggap dia mempunyai kelebihan sokongan kehadiran peminat dari Filipina selain keluarga termasuk ibunya Dionisia di Arena Axiata untuk memperkuatkan fokusnya terhadap percubaan untuk merampas gelaran WBA daripada Matthysse.

Matthysse pula menerusi jurubahasanya berkata: “selepas seminggu datang lebih awal ke Malaysia, saya terasa ini seperti rumah saya juga. Saya santai, gembira dan selesa di sini dan yakin 100 peratus untuk mempertahankan gelaran WBA saya.”