Mat Sport
 

Mat rasa bukan Mat seorang saja terasa pelik dengan perkara ini, pasti ramai lagi yang tertanya-tanya dengan apa yang berlaku.

Apa yang dimaksudkan Mat adalah penamatan kontrak ketua jurulatih skuad terjun negara, Yang Zhuliang yang telah membawa pelbagai pencapaian buat sukan akuatik Malaysia.

Cuma Mat tertanya-tanya, sukan akuatik ini hanya ada sukan terjun sahaja ke? sebab Mat lihat sukan renang seperti ada tak ada, Ok lah kalau dikatakan pencapaian lima emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tetapi jumlahnya daripada 40 pingat yang ditawarkan.

Tempoh jurulatih dari Australia, Paul Birmingham melatih skuad negara hampir 10 tahun sama seperti Zhuliang, namun apa yang membezakan adalah sepanjang tempoh itu, Zhuliang telah berjaya melahirkan juara dunia dan pemenang pingat Olim­pik, malah penerjun negara bukan lagi saingan di peringkat Asia Tenggara.

Paul pula seperti terkapai-kapai membentuk perenang bertaraf dunia, Asia, malahan peringkat Asia Tenggara sekalipun kita tidak mampu bersaing dengan Singapura, Vietnam dan negara lain.

Persoalan yang timbul kenapa Zhuliang disingkirkan, Paul masih dikekalkan walaupun tiada pencapaian membanggakan.

Oleh itu, terpaksalah ditimbulkan isu yang tidak menyentuh tentang pencapaian kerana risau terkena tempias kepada sukan renang.

Kembali kepada Zhuliang, Mat paling pelik apabila kenya­taan yang diberikan Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi, bercanggah dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berhubung kontrak Zhuliang tidak disambung.

Dakwaan seperti, kaedah latihan old school, gagal menghalang budaya buli, mewujudkan budaya ketakutan dalam kem skuad terjun negara dan tawaran tugas lain mengelirukan rakyat Malaysia.

Kalau diselesaikan cara baik pasti segala isu ini tidak timbul.

Kalau sudah ti­dak suka sekalipun, tidak perlulah sampai ke tahap memburukkan seseorang yang telah menaikkan nama negara kita di persada dunia. Berilah pengiktirafan yang sepatutnya diteri­manya.

Paling Mat tidak faham, kenapa baru sekarang isu budaya tidak sihat dan menakutkan itu timbul sedangkan sebelum ini, mereka dilihat tiada masalah melatih atlet.

Mat rasa, selepas ini Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu mengambil iktibar daripada kes ini agar menjadi panduan dalam membuat sesuatu keputusan sebelum menyampaikan kepada umum.

Jutaan terima kasih Zhuliang di atas sumbangannya hampir sedekad dalam melahirkan juara dunia dan meletakkan nama Malaysia antara pesaing digeruni di peringkat dunia.

Siapa yang betul dan salah Mat tidak tahu, tetapi pada pandangan Mat sendiri sehingga sekarang, Mat masih tidak bersetuju dengan cara kontrak Zhuliang tidak disambung.

Kebimbangan Mat kini tertumpu kepada kemampuan individu yang bakal menyandang jawatan ketua jurulatih skuad terjun itu.