Sambutan itu diketuai oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan peminat-peminat negara.

Jun Hoong, 27, yang memahat sejarah memenangi pingat emas acara 10 meter platform individu wanita dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest mengakui terkejut dengan sambutan yang diterima dan berterima kasih kepada sokongan semua rakyat Malaysia.

“Saya terharu dengan sambutan yang diterima dan kejayaan ini akan menjadi semangat untuk saya terus meraih lebih banyak kejayaan serta berusaha lebih keras,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, Jun Hoong memecah dominasi dua jagoan China untuk memenangi emas tidak diduga dalam saingan 10m platform.

Atlet kelahiran Batu Gajah, Perak tersebut sebelum itu turut menghadiahkan gangsa dalam 10m platform seirama bersama Pandelela Rinong, pasangannya ketika memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio, tahun lalu. - UTUSAN ONLINE