Jun Hoong, 26, yang memenangi pingat Perak di Sukan Olimpik baru-baru ini berkata, beliau akan menjalani latihan bagi menghadapi kejohanan itu mulai 5 September ini di Bukit Jalil.

"Acara yang akan saya sertai pada kejohanan itu belum ditetapkan lagi, terpulang pada jurulatih, sebab saya akan berlatih dahulu," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Stesen Keretapi Ipoh di sini hari ini dan disambut oleh kira-kira 15 anggota keluarganya.

Jun Hoong yang bergandingan dengan Pandelela Rinong memenangi pingat pertama negara menerusi acara terjun 10 meter platform seirama di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Menurut Jun Hoong, beliau akan meluangkan masa bersama keluarga di Ipoh selama tiga hari sebelum kembali ke Kuala Lumpur Ahad ini untuk menjalani latihan.

"Saya tidak balik ke sini hampir setahun kerana perlu menjalani latihan dan persediaan untuk menghadapi Sukan Olimpik Rio. Saya gembira dapat luangkan masa bersama keluarga dan akan menikmati beberapa makanan di Ipoh seperti dim sum, kopi dan masakan ibu sebelum kembali ke Kuala Lumpur," katanya.

Menurut Jun Hoong, dia juga akan berkongsi pengalaman dan kejayaan yang dikecapi kepada pelajar-pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Choi di sini esok. - BERNAMA