Jun Hoong, yang sebelum ini sudah pun mengesahkan slot dalam acara 10m platform seirama bersama Pandelela Rinong dan 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri, bakal membuat penampilan dalam acara 3m papan anjal individu selepas melayakkan diri ke separuh akhir pada Terjun Piala Dunia di Brazil, semalam.

Dalam acara individu, 18 peserta yang berjaya melayakkan diri ke separuh akhir akan meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik, dan atlet kelahiran Perak itu menyempurnakan tugasnya dengan baik apabila menamatkan kempen awal kelayakan pada kedudukan kelapan daripada 54 peserta.

Jun Hoong, 25, mengumpul 320.15 mata pada pusingan kelayakan di Pusat Akuatik Maria Lenk. Saingan akhir akan berlangsung pada awal pagi ini.

Kejayaan ini pastinya cukup bermakna buat Jun Hoong selepas lapan bulan lalu dia diketepikan daripada skuad ke Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Rusia pada saat akhir akibat kecederaan buku lali ketika menjalani latihan di China.

“Saya gembira dan lega de­ngan keputusan ini..saya tidak mahu ketinggalan untuk meraih slot kedua.

“Semuanya berjalan dengan lancar kerana selepas terlepas kejohanan dunia di Kazan ia amat sukar untuk saya.

“Ia adalah satu perjuangan yang sukar untuk saya kembali bersaing selepas pulih daripada kecederaan, namun semuanya kini dicapai seperti yang saya impikan,” katanya, yang memenangi pingat perak bersama Pandelela dalam 10m platform seirama wanita, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, gandingan Jun Hoong bersama Nur Dhabitah Sabri dalam 3m papan anjal seirama gagal menghadiahkan pingat, namun menamatkan saingan di tempat kelima terbaik daripada 12 peserta, sekali gus menempah slot ke Olimpik.

Malaysia kini telah meraih enam kuota maksimum dalam acara wanita (dua untuk papan anjal individu dan platform, dan masing-ma­sing satu dalam acara papan anjal dan platform seirama).