Cheong Jun Hoong (kanan) dan Nur Dhabitah Sabri meraikan kejayaan mereka layak ke Olimpik 2016 selepas menduduki tempat kelima dalam acara 3 meter papan anjal seirama, kejohanan Piala Dunia Terjun di Rio De Janeiro, Brazil semalam.

Gandingan Cheong Jun Hoong dan Nur Dhabitah Sabri, yang sudahpun layak ke Rio, menamatkan saingan di tempat lima daripada 12 pasangan dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita selepas me­ngutip 301.50 mata dalam kejohanan Piala Dunia Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) 2016 di Pusat Akuatik Maria Lenk di Rio semalam.

Gergasi sukan terjun dunia China menepati ramalan apabila meraih pingat emas menerusi Shi Tingmao-Wu Minxia yang mengumpul 339.60 mata, manakala Jennifer Abel-Pamela Ware dari Kanada di tempat kedua selepas mengutip 312.27 mata, menurut laman sesawang FINA www.fina.org.

Samantha Amy Mills-Esther Qin dari Australia pula meraih pingat gangsa selepas meraih 307.50 mata.

Jurulatih negara Yang Zhuliang nyata gembira dengan pencapaian penerjun negara yang telah meraih dua slot ke Olimpik selepas hari ke­dua berlangsung.

“Saya amat gembira untuk Jun Hoong dan Dhabitah kerana mereka dapat mengawal tekanan dengan baik, yang mana dalam peringkat kelayakan mereka melakukan beberapa kesilapan namun mereka mampu melakukan terjunan lebih baik dalam pertandingan akhir.

“Ini merupakan kali pertama gandingan mereka ini beraksi di pentas akhir tetapi kesilapan penerjun dari Jerman dan Ukraine dalam dua terjunan terakhir berjaya membantu mereka.

“Mereka perlu memperbaiki lagi beberapa terjunan dan buat persediaan rapi sebelum datang semula ke sini (Brazil) untuk Olimpik,” katanya.

Sementara itu, penerjun muda negara Dhabitah nyata gembira apabila berjaya memenuhi sasaran pertama daripada dua yang diletakkan sebelum ke Piala Dunia dan kini dia mahu menumpukan usahanya kepada acara individu 3m papan anjal pula.

“Alhamdulilah berjaya mencapai satu lagi slot...semasa kelayakan kami banyak melakukan kesilapan tetapi dalam aksi final kami dapat memperbaiki terjunan lebih baik berbanding kelayakkan. Kini saya akan fokus kepada acara seterusnya iaitu individu,” dalam mesej menerusi Whatsapp.

Skuad terjun negara pada hari pertama telah menempah slot keenam ke Sukan Olimpik Rio selepas Pandelela Rinong dan Jun Hoong memenangi pingat perak acara 10m platform seirama wanita pada Jumaat lalu.

Skuad terjun negara sudah pun menempah lima slot ke Sukan O­limpik 2016, kesemuanya dalam acara individu menerusi Ooi Tze Liang (3m papan anjal dan 10m platform lelaki), Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal wanita), Nur Dhabitah Sabri (10m platform wanita) dan Pandelela Rinong dalam acara 10m platform wanita tahun lepas.